ISTANBUL – Pasukan Pertahanan Udara Diraja Arab Saudi berjaya memintas dan memusnahkan peluru berpandu balistik Houthi yang menyasarkan ibu negara Riyadh pada awal Sabtu.
Jurucakap pakatan pimpinan Arab Saudi di Yaman, Mejar Jeneral Turki Al-Maliki dalam kenyataan di platform media sosial AS, X berkata, pasukan pertahanan itu memintas peluru berpandu itu selepas dilancarkan kumpulan Houthi Yaman.
Al-Maliki berkata, cubaan berterusan Houthi menyasarkan orang awam serta infrastruktur awam di Riyadh menunjukkan kedegilan kumpulan itu serta tindakan disengajakan dan sistematik yang mencerminkan corak tingkah laku bermusuhan dan bersifat keganasan.
Katanya, kumpulan itu cuba menyasarkan orang awam dan kemudahan awam di Baysh, Taif, Farasan dan Yanbu, namun serangan berkenaan digagalkan pertahanan udara Arab Saudi.
Jurucakap pakatan itu berkata, kepimpinan pakatan mempunyai hak untuk mengambil langkah yang dianggap sesuai bagi menghalang serangan Houthi selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Terdahulu, jurucakap Houthi, Yahya Saree mendakwa kumpulan berkenaan melancarkan dua operasi melibatkan “sejumlah besar peluru berpandu balistik dan peluru berpandu kruis serta dron.”
Saree berkata, satu operasi menyasarkan apa yang disifatkannya sebagai “sasaran sensitif” di Riyadh, manakala satu lagi menyasarkan kemudahan syarikat minyak Saudi Aramco di bandar pesisir Yanbu.
