PUTRAJAYA 17 Nov. – Kes positif Covid-19 dalam negara kembali melonjak melebihi 6,000 apabila merekodkan 6,288 jangkitan dalam tempoh 24 jam, sehingga 12 tengah hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, dalam satu perkongsian melalui media sosial, berkata, ia menyumbang kepada sejumlah 2,563,153 kes.
Untuk rekod, sebelum ini tiga hari berturut-turut jumlah kes harian melebihi 6,000 kes iaitu 6,243 (10 Nov.), 6,323 (11 Nov.) dan 6,517 (12 Nov.) diikuti 5,809 (13 Nov.), 5,162 (14 Nov.), 5,162 (15 Nov.) dan 5,413 semalam.
Dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham berkata, dalam tempoh itu juga sebanyak 40 kematian akibat Covid-19 direkodkan menjadikan jumlah kumulatif korban akibat Covid-19 sebanyak 29,769.
