Thailand catat 6,524 kes baharu

BANGKOK 17 Nov. – Jika semalam Thailand merekodkan 5,947 kes positif Covid-19, jumlah itu meningkat hari ini apabila mencatatkan 6,524 kes baharu dengan 56 lagi kematian dalam tempoh 24 jam.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 2,037,224 kes manakala jumlah kematian meningkat kepada 20,199 orang.

Semalam sebanyak 7,191 pesakit Covid-19 dilaporkan sembuh dan dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah pesakit sembuh meningkat kepada 1,925,643.

Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), daripada 6,524 kes baharu itu, sebanyak 6,512 adalah kes tempatan dan 12 kes import dari Amerika Syarikat, Jepun, United Kingdom, Jerman, Mesir, Belgium, Kemboja dan Myanmar.

Bangkok merekodkan kes harian tertinggi iaitu 894 kes disusuli wilayah lain termasuk Nakhon Si Thammarat, Trang, Songkhla, Pattani dan Yala.

Pada Selasa, sebanyak 91,382 orang mendapatkan rawatan di hospital termasuk 1,739 pesakit kritikal dan 407 yang bergantung kepada ventilator.

Menurut CCSA, kira-kira 11 juta orang belum divaksin dan menggesa supaya mereka mendapatkan segera suntikan.

Kebanyakan mereka berada di 10 wilayah iaitu Tak, Ratchaburi, Khon Kaen, Nakhon Si Thammarat, Trang, Phatthalung, Songkhla, Pattani, Yala dan Narathiwat.

Justeru semua agensi termasuk pemimpin masyarakat diminta meningkatkan kempen untuk menarik lebih ramai tampil untuk suntikan vaksin.

Setakat Selasa, 45.7 juta penduduk atau 63.4 peratus daripada keseluruhan penduduk menerima dos pertama dan 37.5 juta atau 52.1 peratus mendapat dua dos suntikan.

Related posts

Leave a Comment