CABARAN MENGURUS PERSEPSI RAKYAT

MAGHRIB 23 Ogos, apabila menerima beberapa keping gambar ‘rombongan’ Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob ke Yan, Kedah, perkara pertama yang terlintas di fikiran ketika itu adalah gambar-gambar berkenaan akan mengundang isu.

Mengenali rakyat dan sebagai rakyat Malaysia, jangkaan gambar-gambar seumpama itu akan diperdebatkan bukanlah sesuatu yang luar biasa. Andaian itu nyata benar apabila plebagai kritikan dibuat sehingga ke hari ini. Semuanya negatif.

Ia bukan kerana isu Pak Long Mail menggunakan kemudahan jet. Tidak juga salah guna kuasa . Itu hak Perdana Menteri bagi tugasan rasmi. Netizen ‘meluat’ melihat orang politik sekelilingnya yang turut serta merentas negeri melalui udara.

Orang politik ini dari ‘keluarga UMNO’ yang hadir sebelum Kabinet baharu diumumkan. Justeru, akan timbul pelbagai persepsi yang secara tidak langsung memberi imej tidak baik pada hari pertama Pak Long Mail sebagai Perdana Menteri.

Semua orang sedang memerhatikan Perdana Menteri ke-9 dan ke-3 dalam satu penggal pilihan raya umum ini. Sedikit tergelincir, buruk padahnya.

Hakikatnya, tidak ada sesiapa yang akan mempertikaikan ‘rombongan’ Pak Long ini sekiranya orang sekeliling menyimpan foto itu di galeri telefon masing-masing sebagai kenangan bersejarah bersama PM di dalam jet.

Tidak perlulah upload dan ditularkan. Pandai makan pandailah simpan bukannya pandai makan tak pandai simpan. Gambar-gambar itu mengundang pelbagai persepsi kerana suasana dan masanya tidak sesuai.

Kita dalam kegawatan ekonomi yang menjejaskan rakyat, krisis kesihatan akibat pandemik Covid-19 dan ketidakstabilan politik. Maka imej yang dianggap mewah, membazir, ‘mempamer’ kuasa dan tidak hormati SOP pandemik akan mengundang pelbagai persepsi.

Justeru menyebarkan gambar itu keluar dari pesawat pada ketika ini adalah satu tindakan yang hanya membawa imej tidak baik kepada orang lain.

Sepatutnya sebelum upload, fikirlah kesannya. Kata orang ‘Lihat anak pandang menantu’. Cakap siang pandang-pandang, cakap malam, dengar-dengar. Jangan sokong bawa rebah.

Hakikatnya, isu penggunaan jet ini bukanlah sesuatu yang baharu. Mungkin ada yang lupa isu jet pernah tular pada Mei 2018, semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Ketika itu tular berita berkaitan lawatan Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail bersama dengan suami dan anak-anaknya menghadap bonda Yang di-Pertuan Agong di Kota Bharu, Kelantan dengan menaiki jet kerajaan.

Gambar yang tular di media sosial, ketika itu adalah Wan Azizah bersama Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim dan dua anak perempuannya dalam jet tersebut. Suasana ceria seperti ditunjukkan ‘keluarga UMNO’ baru-baru ini.

Ingatlah ketika era medsos ini, rakyat lebih mudah mendapatkan maklumat baik atau buruk pemimpin mereka. Waktu ini mereka lebih kritikal. Laporan negatif dan positif akan diulas oleh netizen mengikut selera masing-masing.

Mungkin di pihak pemimpin, sesuatu yang dilakukan mereka bukan luar biasa tetapi dalam kalangan rakyat, lain pula persepsi mereka. Justeru pemimpin perlu lebih bijak bertindak bagi mengurus persepsi rakyat.

Sebarang ‘ketelanjuran’ sama ada perbuatan atau kata-kata akan mengundang isu kerana netizen hari ini lebih kritikal disebabkan mereka sedang bergelut dengan masalah pandemik, ekonomi, sosial dan politik.

Justeru pemimpin perlu lebih berwaspada supaya tindak tanduk mereka tidak mengundang persepsi negatif atau seolah-olah sedang berlaku penyalahgunaan kuasa, melanggar peraturan dan pembaziran.

Pemimpin perlu meningkatkan tahap kewaspadaan kerana dalam suasana yang ada pada hari ini, akan ada musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan, dan musang berbulu ayam yang sentiasa mangintai peluang untuk memburukkan imej mereka.

Dan kepada para penyokong yang sedang ‘mengelilingi’ pemimpin, mereka juga berperanan menjaga imej ketua. Jangan disebabkan mereka ‘membawa lumpur’, pemimpin utama juga terkena kotorannya.

Related posts

Leave a Comment