Malaysia kecam ceroboh masjid

PUTRAJAYA 9 Mei – Malaysia mengecam pencerobohan dan serangan tentera penjajah Israel serta pendatang haram Yahudi ke atas rakyat Palestin dan para jemaah yang beribadah di Masjid Al-Aqsa pada Jumaat , 7 Mei lalu.

Menteri Luar Hishammuddin Tun Hussein berkata perbuatan zalim itu bukan sahaja perlu dikecam sekeras-kerasnya malah kerajaan Israel mesti dipertanggungjawabkan ke atas pelanggaran hak asasi manusia serta undang-undang antarabangsa.

Ramai rakyat Palestin yang tercedera dalam serangan itu. Pencerobohan di Masjid Al-Aqsa yang disasarkan terhadap para jemaah yang sedang menunaikan solat di hari-hari terakhir Ramadan merupakan satu bentuk penghinaan terhadap umat Islam dan nilai kemanusiaan.

“Malaysia turut mengecam sekeras-kerasnya pengusiran secara paksa rakyat Palestin daripada kediaman mereka termasuk yang berada di kejiranan Sheikh Jarrah di Baitulmuqaddis. Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa untuk bertindak segera dan tegas menentang kezaliman terbaharu Israel ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Luar semalam.

Menurut beliau lagi, Malaysia sentiasa memberikan sokongan padu kepada rakyat Palestin dan perjuangan mereka dalam mencapai kebebasan mutlak daripada penjajahan haram Israel, ke arah pembentukan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan garis sempadan pra-1967, dengan Baitulmuqaddis  (East Jerusalem) sebagai ibu kota Palestin.

Related posts

Leave a Comment