KUALA LUMPUR 20 Mei – Tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa selepas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Dr Johari Abdul, mengisytiharkan berlaku kekosongan di kedua-dua kerusi berkenaan.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) Ramlan Harun, berkata pihaknya sudah menerima pemakluman daripada Johari melalui surat bertarikh hari ini berhubung status kekosongan luar jangka itu.
“Berdasarkan kepada Perkara 54 (1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah memaklumkan kepada SPR bahawa tiada keperluan bagi mengisi kekosongan luar jangka tersebut.
“Selaras dengan itu, tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.100 Pandan dan P.118 Setiawangsa akan dijalankan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu Johari mengumumkan berlaku kekosongan luar jangka bagi kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa susulan peletakan jawatan Ahli Parlimennya berkuat kuasa 18 Mei lalu.
Katanya, kekosongan itu berlaku selepas beliau menerima notis daripada Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, berhubung peletakan jawatan masing-masing.
Susulan itu, beliau sudah memaklumkan perkara berkenaan kepada SPR selaras dengan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan bagi tindakan lanjut.
“Sebarang keputusan berkaitan pelaksanaan pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Pandan dan Parlimen Setiawangsa adalah tertakluk kepada pertimbangan dan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada 17 Mei lalu, Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR dan bekas Naib Presiden PKR Nik Nazmi mengumumkan keluar parti serta mengambil alih BERSAMA yang ditubuhkan pada 2016, seterusnya mengosongkan kerusi yang disandang masing-masing.
Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh, dalam kenyataannya berkata parti itu menyerahkan notis berkenaan penamatan keanggotaan susulan pengistytiharan keluar parti yang dibuat Rafizi dan Nik Nazmi pada 17 Mei 2026, kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, hari ini.
“Keadilan berpendirian bahawa tindakan meninggalkan parti melalui pengisytiharan mereka itu menyebabkan Perkara 9.1(c) Perlembagaan Parti Keadilan adalah terpakai.
Keadilan juga berpendirian bahawa tindakan tersebut mempunyai kesan langsung di bawah Perkara 49A (1)(a)(ii) Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu, saya selaku Setiausaha Agung Keadilan menyerahkan keputusan mengenai status mereka berkenaan Perkara 49A (1)(a)(ii) dan juga tindakan lanjut kepada budi bicara Tan Sri Speaker Dewan Rakyat,” katanya.
Nnnn
