SEPANG 19 Mei – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj menyeru semua wakil rakyat negeri ini berkunjung ke Dataran Selangor dua kali sebulan dan membaca serta memahami makna Rukun Negara pada Plak Monumen di situ.
Khusus kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan Wong Siew Ki dari DAP dan bekas Exco DAP Negeri Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew, baginda menyarankan supaya datang seminggu sekali ke Dataran Selangor.
“Datanglah seminggu sekali ke Dataran Selangor untuk fahamkan dan hayati makna Rukun Negara, agar menjadi rakyat yang tahu untuk hormat kepada kedaulatan Institusi Raja dan menjaga adab kesopanan dan kesusilaan,” titah baginda.
Menerusi Facebook Selangor Royale Office, baginda memaklumkan telah berangkat ke Dataran Selangor (Selangor Square) hari ini untuk melihat sendiri Plak Monumen Rukun Negara yang ditempatkan berhadapan Tiang Bendera Negeri Selangor.
Plak Monumen ini yang pembinaannya dibiayai sepenuhnya oleh baginda dibina dan dipasang oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor berserta dengan tempat duduk (benches) yang disediakan untuk para pengunjung.
Dengan terbinanya Plak Monumen ini, baginda ingin mengimbas kembali dan mengingatkan mengenai sejarah bagaimana lahirnya konsep Rukun Negara iaitu ketika darurat diisytiharkan akibat tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.
“Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang ditubuhkan sebagai Badan Pemerintah pada ketika itu, telah berunding bersama anggota-anggotanya untuk melahirkan konsep Rukun Negara sebagai manifestasi ideologi kebangsaan bagi tujuan pengukuhan perpaduan antara kaum di Negara ini,” titah baginda.
Baginda berharap orang ramai yang berkunjung ke Dataran Selangor khususnya generasi baharu, dapat membaca dan menghayati prinsip-prinsip asas Rukun Negara ini yang menjadi teras utama kepada perpaduan rakyat Malaysia.
“Beta juga menyeru kepada semua Ahli Yang Berhormat wakil rakyat Negeri Selangor untuk datang sendiri ke Dataran Selangor ini setiap dua kali sebulan dan membaca serta memahami makna Rukun Negara yang tertera pada Plak Monumen ini.
Khusus ditujukan kepada wakil rakyat Seri Kembangan, YB Puan Wong Siew Ki dari DAP dan bekas Exco DAP Negeri Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew, Beta sarankan agar datanglah seminggu sekali ke Dataran Selangor untuk fahamkan dan hayati makna Rukun Negara, agar menjadi rakyat yang tahu untuk hormat kepada kedaulatan Institusi Raja dan menjaga adab kesopanan dan kesusilaan,” titah baginda.
