KUALA LUMPUR 6 Mei – Penternakan babi di Selangor hanya boleh dibangunkan di kawasan baharu yang jauh daripada kawasan perumahan serta sumber air kritikal bagi mengelakkan isu pencemaran dan gangguan kepada penduduk.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata perkara itu disampaikan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Bercakap pada sidang media di sini, beliau berkata ketetapan itu dibuat selepas sembah maklum dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan perbincangan bersama Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.
“Kerajaan Persekutuan juga berpendirian perlu ada penggunaan teknologi tinggi yang mampu mengurus isu sisa dan pencemaran dengan sangat baik,” kata Fahmi.
Pada Februari, Sultan Selangor bertitah tidak memperkenankan aktiviti penternakan babi di mana-mana daerah di negeri itu.
Sementara Perdana Menteri juga tidak bersetuju penternakan babi dibuat di kawasan dibantah penduduk tempatan yang boleh menimbulkan kontroversi malah jika tiada kawasan bersesuaian, penternakan babi tidak perlu dilaksanakan khususnya di Selangor.
Susulan itu, Kerajaan Selangor memutuskan untuk tidak lagi mengeluarkan lesen baharu penternakan babi di mana-mana daerah di negeri itu serta menutup ladang sedia ada secara berperingkat.
April lalu, Sultan Sharafuddin menegur sikap segelintir pihak yang masih tidak berpuas hati serta enggan mematuhi titah larangan penternakan babi di negeri ini.
“Beta telah memberikan faktor-faktor kenapa ternakan babi tidak sesuai di negeri Selangor antaranya faktor tanah yang tidak mencukupi dan ternakan babi diadakan di kawasan penempatan penduduk yang padat dengan umat Islam.
Di samping itu isu pencemaran sungai dan udara juga menjadi faktor kenapa ternakan babi di negeri Selangor tidak sesuai,” titah baginda sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
Bagaimanapun ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki semasa membahaskan titah ucapan Sultan Selangor memohon pertimbangan kerajaan negeri untuk memberi ruang kepada penerokaan sistem penternakan babi secara moden dan tertutup di Selangor.
ADUN DAP itu berkata cadangan itu mengambil kira aspek kesamarataan warganegara seperti yang dijamin di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.
“Isu penternakan babi tidak seharusnya dibezakan daripada penternakan haiwan lain kerana risiko pencemaran, kebersihan serta kesihatan adalah sama,” katanya.
Nnnn
