SEPANG 7 Jan. – Pemecatan Saifuddin Abdullah daripada Bersatu adalah ‘cacat’, bertentangan dengan semangat dan prinsip perlembagaan parti kerana ia didakwa dilakukan tanpa persidangan rasmi Lembaga Disiplin (LD) parti itu.
Ketua Bersatu Bahagian Kepala Batas, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq berkata, sebagai peguam beliau menegaskan pemecatan tanpa persidangan LD ini bukan isu teknikal kecil tetapi isu keabsahan keputusan.
“Saya tidak mempertahankan mana-mana individu, saya mempertahankan perlembagaan, proses dan integriti parti. Apabila proses dipintas, keputusan yang terhasil bukan lagi ketegasan, tetapi penyalahgunaan kuasa.
Lebih mendukacitakan, apabila kecacatan proses ini cuba ditutup dengan naratif “disiplin”, “tanggungjawab kolektif” dan “ketegasan parti”, seolah-olah matlamat boleh menghalalkan cara.
Ini bukan budaya parti yang berperlembagaan, ini budaya arahan tanpa semak imbang,” katanya dalam satu kenyataan sebagai mengulas pemecatan Ahli Parlimen Bersatu Indera Mahkota, itu semalam.
Katanya, hakikat bahawa pemecatan dibuat tanpa persidangan rasmi LD ini tidak boleh diselindung dengan kenyataan umum, alasan pentadbiran atau tafsiran longgar perlembagaan parti.
“Sebagai peguam, saya agak malu apabila terpaksa menjelaskan perkara asas sebegini kepada umum bahawa keadilan bukan hanya keputusan, tetapi juga proses, tanpa proses, keputusan itu rapuh, mudah dicabar dan memalukan parti sendiri.
Jika hari ini seorang Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi boleh dipecat tanpa persidangan LD, esok sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa,” katanya.
Beliau berkata, parti yang membenarkan perkara ini, sedang mengajar ahlinya bahawa perlembagaan boleh diketepikan apabila tidak selari dengan kehendak kuasa.
“Disiplin tanpa perlembagaan bukan disiplin. Ketegasan tanpa proses bukan kepimpinan.
Bersatu tidak akan menjadi parti yang dihormati jika ia gagal mematuhi perlembagaannya sendiri. Tiada siapa lebih besar daripada perlembagaan termasuk mereka yang memegang kuasa,” tegasnya.
Nnn
