90 peratus pesawah Kedah terjejas

ALOR SETAR 3 Mei – Hampir 90 peratus daripada 56,000 pesawah di Kedah termasuk di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) belum memulakan penanaman padi bagi Musim 1/2026 yang boleh memberi impak jangka panjang terhadap tahap sara diri beras (SSR) negara.

Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob, berkata situasi yang menjejaskan jadual penanaman itu adalah disebabkan peningkatan kos operasi dan kekurangan bekalan air.

Katanya, pesawah di kawasan MADA sepatutnya memulakan tanaman mengikut jadual iaitu Fasa Satu pada 15 April, Fasa Dua 29 April dan Fasa Tiga 13 Mei.

Menurut beliau, masalah utama adalah paras air empangan yang rendah di mana Empangan Muda masih pada tahap kritikal dan keutamaan diberikan kepada kegunaan domestik, bukan pengairan untuk padi.

“Malah, seandainya air dilepaskan dalam waktu terdekat ini sekali pun pesawah tetap tidak mampu mengusahakan sawah kerana kos yang terlalu tinggi,” katanya selepas menghadiri Himpunan Aman Pesawah di Kampung Alor Setoi, di sini, hari ini.

Perhimpunan itu adalah kali ketiga dianjurkan di negeri ini bagi mengetengahkan kesukaran yang dihadapi pesawah di kawasan jelapang padi.

Abdul Rashid, berkata peningkatan kos penggunaan jentera menjadi antara faktor utama apabila kadar sewaan traktor meningkat sehingga 66 peratus, manakala kos mesin menuai naik sekitar 38 peratus.

Katanya, lonjakan itu menjadikan keseluruhan kos operasi meningkat lebih 50 peratus, sekali gus membebankan pesawah.

Dalam keadaan harga padi dan beras masih tidak berubah, pesawah tidak mampu menanggung beban ini termasuk kos baja dan input lain.

“Kalau harga padi naik, harga beras juga perlu diselaraskan, atau kerajaan perlu campur tangan bagi menstabilkan keadaan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata hujan sejak beberapa hari lalu masih belum mencukupi untuk membantu memulihkan keadaan tanah dan sistem pengairan kerana ia memerlukan taburan hujan yang lebih tinggi untuk memulihkan kelembapan tanah serta memastikan bekalan air di tali air mencukupi.

“Buat masa ini, keadaan masih belum mengizinkan untuk pesawah memulakan penanaman walaupun sudah memasuki bulan Mei,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan bertindak segera bagi menangani isu kos yang semakin menekan demi memastikan bekalan makanan negara terus terjamin.

“Seperti kita menjaga kedaulatan negara, begitu juga kita perlu menjaga kedaulatan makanan. Beras adalah makanan asas rakyat, dan pesawah adalah benteng utama dalam memastikan bekalan itu mencukupi,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment