Khidmat komuter umpama tiada “titik noktah”

DALAM menghadapi isu kos bahan api, Menteri Pengangkutan  Anthony Loke tampil dengan menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam – maksudnya bas, komuter, LRT, MRT, monorel, ERL dan sebagainya.

Beliau juga menggalakkan syarikat e-hailing mengamalkan dasar lebih fleksibel dengan memperluaskan pelaksanaan konsep “carpool” – penumpang berkongsi perjalanan secara lebih efisien dengan kadar tambang yang lebih berpatutan.

Berkaitan dengan pengangkutan juga, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menggalakkan orang ramai supaya merancang perjalanan mereka dengan keluar rumah lebih awal.

Mereka yang memilih untuk keluar rumah lebih awal bukan sahaja dapat perjalanan lebih lancar (tiada jaminan) malah boleh menikmati minuman terpilih pada harga serendah RM5 antara pukul 7 hingga 8 pagi melalui aplikasi Zus.

Begitulah pendekatan yang diketengahkan oleh dua anggota Kabinet Kerajaan Madani, kedua-duanya mewakili DAP, Setiausaha Agung dan Timbalan Setiausaha Agung DAP.

Persoalannya, adakah selama ini mereka yang bekerja di Lembah Klang tidak mengamalkan cadangan menteri itu? Sama ada keluar awal menggunakan kenderaan sendiri atau keluar awal menggunakan pengangkutan awam.

Jawablah sendiri. Dan pada masa yang sama fikirkan juga sejauh mana pula keberkesanan cadangan perkongsian kenderaan atau “carpool” melibatkan e-hailing dapat membantu sama ada pemandu atau pengguna?

Pengalaman menggunakan “carpool “ RapidKL On-Demand contohnya, yang dekat menjadi jauh, yang cepat menjadi lambat. Itu berdasarkan pengalaman. Boleh cuba.

Hakikatnya, isu pengangkutan awam tidak akan selesai selagi perancangan yang dibuat tidak mengambil kira keperluan masa depan, sama ada melibatkan jalan raya atau lebuh raya, bas, kereta api, LRT, MRT, ERL, dan pelbagai lagi.

Contohnya, MRT atau sistem pengangkutan rel di kawasan Lembah Klang dan jirannya,  Selangor dan Negeri Sembilan. Tidak semua mampu tinggal di ibu kota sebaliknya mereka sanggup berulang alik dari Negeri Sembilan malahan Melaka.

Bagi generasi yang kini bergelar warga emas tentu masih ingat bagaimana tiap petang, orang ramai beratur panjang di Pudu Raya (kini Plaza Rakyat tak siap-siap) untuk menaiki bas ke Seremban. Begitu juga bas ekspres ke Seremban.

Kesengsaraan mereka ini terubat apabila ada perkhidmatan komuter. Selesa untuk beberapa ketika tetapi kebelakangan ini perkhidmatan itu semakin tidak stabil.

Berdasarkan pengalaman Selak menaiki tren ini dari Kajang (kemudiannya Bandar Seri Putra) ke Salak Selatan untuk ke tempat kerja di Jalan Chan Sow Lin pada suatu ketika dahulu, komuter zaman dahulu boleh dikatakan baik’, dan berjalan lancar.

Namun ketika ini atas nama “KESULITAN HARI INI UNTUK KESELESAAN MASA HADAPAN” perkhidmatan komuter amat mengecewakan. Entah berapa kali jadual berubah “demi keselesaan” masa depan. Mujur saya dah pencen tetapi masih perlu.

Semalam keluar jadual baharu perkhidmatan komuter mulai 18 April ini atau 20 April (hari bekerja) bagi laluan Pulau Sebang – Batu Caves – Pulau Sebang susulan kerja-kerja menaik taraf Infrastruktur Projek Landasan Berkembar Elektrik Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2).

Ia melibatkan landasan antara Stesen Salak Selatan hingga Stesen Seremban. Susulan itu tiada perkhidmatan dari Seremban ke Kuala Lumpur antara 10 pagi hingga 4 petang. Aduhai. Bukan sahaja semakin lembab tetapi dah “mengarut”.

Dan ketika membaca kenyataan itu, saya terus berkata dalam hati kalaulah perkhidmatan MRT dibina hingga ke Seremban alangkah indahnya “kehidupan” pengguna. Malangnya MRT hanya berakhir di Kajang.

Jika ada MRT sehingga Seremban, KTM pun tidak perlu buang masa menaik taraf sedikit demi sedikit seumpama seperti tiada titik noktahnya. Umpama lagu Mimpi Yang Tak Sudah nyanyian Ibnor Riza. Rasanya jika dibina, MRT sudah lama siap berbanding naik taraf landasan kereta api.

Di bawah penstrukturan semula itu, tiada perkhidmatan komuter bermula pukul 10 pagi (saya ulang 10 pagi) hingga 4 petang bagi laluan Midvalley – Seremban/Pulau Sebang dan Pulau Sebang-Bandar Tasek Selatan, Kuala Lumpur.

Selain itu penutupan penuh landasan di antara Stesen Salak Selatan hingga Stesen Seremban mulai pukul 10 malam hingga 6 pagi bagi membolehkan kerja naik taraf dan penyelenggaraan dijalankan.

Begitulah situasinya. Ketika ini MRT hanya berakhir di Kajang dan sekurang-kurangnya dapat juga meringankan kesengsaraan penduduk sekitar Kajang, Bandar Baru Bangi dan Semenyih. Bagaimana pula penduduk Nilai hingga Seremban?

Sebagai Ahli Parlimen Seremban, Loke yang sering menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam perlu memberi perhatian terhadap kesulitan yang bakal dihadapi penduduk yang turut meliputi kawasan Nilai.

Carilah kaedah yang boleh membantu memudahkan pengguna dalam menghadapi krisis bahan api. Jika tidak kerajaan membantu, siapa lagi?

Apakah tidak boleh dipertimbangkan khidmat komuter selepas 10 pagi dari Seremban yang dapat mengambil penumpang di Tiroi, Labu, Nilai, Batang Benar, Bangi, dan UKM berakhir di Kajang bagi memudahkan pengguna menyambung perjalanan menggunakan MRT?

Sekurang-kurangnya ada kemudahan untuk ke Kuala Lumpur pada hari bekerja selepas tren terakhir dari Seremban ke KL Sentral pada pukul 7.21 pagi.

Related posts

Leave a Comment