BN selesa, tugas PN lebih mencabar

SEPANG 2 Jun  – Berbekalkan tiga kerusi sebelum ini, Perikatan Nasional (PN) berdepan tugas lebih mencabar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, berbanding Barisan Nasional (BN) yang menang 40 kerusi pada 2022 dilihat lebih selesa.

Setiausaha Politik kepada Presiden Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman, berkata di samping imej Menteri Besar,  Onn Hafiz Ghazi yang ‘bekerja’ mampu memberi kelebihan buat BN, PRN mengejut lazimnya memberi kelebihan kepada penyandang.

Katanya, sentimen lokal sering mengatasi isu nasional, ditambah dengan semangat ‘Bangsa Johor’, sebagaimana berlaku dalam PRN Sabah.

“Sekilas pandang, daripada 56 kerusi DUN Johor, BN (40) selesa di hadapan. Baton ‘simple-majority’ di tangan, namun ‘over-confident’ boleh mengundang padah. Imej MB yang bekerja menjadi kelebihan,” katanya menerusi Facebooknya.

Pakatan Harapan (PH) pula dengan 12 kerusi sebelum ini dijangka mampu mempertahankan kerusi yang dimenangi DAP tetapi PKR, Amanah berisiko kehilangan kerusi.

“Namun kalah tidak mengapa, jawatan GLC jadi taruhan,” katanya.

Sementara PN berdepan tugas lebih mencabar walaupun ada potensi namun perlu lonjakan sokongan dengan menawarkan calon berwibawa, inklusif, dan berintegriti sementara MUDA dan BERSAMA boleh mencuba nasib dengan calon dan formula baharu yang mungkin ada kejutan.

Ahli Parlimen Bachok itu juga mengingatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya memastikan pilihan raya berlangsung secara adil dan bersih serta menutup ruang politik wang, hentikan salah guna jentera kerajaan dan pastikan padang sama rata.

“PMX dan Jemaah Menteri, tugas kalian di Kabinet & Parlimen, tidak perlu berkampung di Johor. Hentikan amalan ‘projek segera’ atau peruntukan bermusim setiap kali pilihan raya.

Uniknya kali ini, PH/BN bertembung di Johor, tetapi duduk semeja di Kabinet. Bertanding solo, bergabung kemudian? Rakyat nantikan,”katanya.

Beliau berkata, bagi pengundi, isu ekonomi, kos sara hidup, peluang pekerjaan dan kebajikan kekal menjadi pertimbangan utama di samping ketokohan serta kewibawaan calon turut mempengaruhi pilihan.

“Setiap blok (BN/PH/PN) bergantung kepada pengundi teras, namun undi penentu di tangan anak muda (20an – 40an), khususnya ‘first time voters’ (FTV) dan pengundi luar yang mahukan perubahan.

Walhasil, keputusan PRN Johor pastinya mendebarkan, bakal menjadi penanda aras baharu politik nasional. Senario pasca-PRN, sebarang kemungkinan,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment