MELAKA 11 April – Selepas dipecat daripada Bersatu, Hamzah Zainudin masih berteka teki mengenai parti pilihannya setelah menolak cadangan menubuh parti baharu dan masih belum pasti dengan desas desus untuk menyertai Pas.
Bagaimanapun bekas Timbalan Presiden Bersatu itu tidak menolak kemungkinan untuk beliau bersama 18 Ahli Parlimen yang menyokong agenda ‘Reset’ bergabung dengan sebuah parti besar sedia ada sebagai wadah politik.
Tanpa mendedahkan parti berkenaan, Hamzah berkata dalam landskap semasa, menubuhkan parti baharu bukanlah jalan terbaik sebaliknya memperkukuh dan melakukan ‘reset’ parti sedia ada lebih relevan untuk masa depan negara.
Justeru, keutamaannya ketika ini bukan untuk menubuhkan organisasi baharu, tetapi memastikan parti yang ada mampu menarik minat rakyat serta kekal relevan untuk jangka panjang.
Parti tidak boleh sekadar menjadi platform pertemuan atau aktiviti semata-mata, sebaliknya perlu digerakkan sebagai satu perjuangan yang jelas dan berprinsip.
“Ada orang tanya saya, (nak tubuh) parti baharu atau (sertai) parti lama… saya nak katakan, saya tak bersetuju untuk kita menubuhkan parti baharu, tetapi kalau kita masuk parti lama dan kita perbesarkan, itu saya bersetuju.
Yang penting kita buktikan rumah yang kita masuk nanti adalah satu-satunya yang akan kita perbesar dan ‘resetkan’ untuk menjadi wadah perjuangan membela nasib agama, bangsa dan negara,” katanya selepas menghadiri Jamuan Pagi Raya anjuran Sekretariat Reset Melaka di Peringgit Point, di sini hari ini.
Mengenai desas-desus menyertai Pas, Hamzah yang dipecat daripada Bersatu memaklumkan beliau masih belum pasti untuk menyertai parti pembangkang itu.
“Kita dalam politik ni, desas-desus itu bukan kepastian. Jadi sebab itu saya (memilih untuk) tak menjawab (mengulas lanjut),” katanya.
Dalam pada itu, Hamzah mengesahkan Reset Melaka akan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan selewat-lewatnya Disember depan.
“Sudah pasti (Reset Melaka sertai PRN), sebab Melaka perlukan mereka yang berwawasan untuk mentadbir negeri,” katanya.
Yang turut hadir, Ketua Sekretariat Reset Melaka, Rahim Tamby Chik dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin.
