Sambutan negara sempena lawatan Agong

RIYADH 4 Nov. – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim diberikan sambutan negara di Istana Yamamah,  bersempena lawatan negara baginda ke Arab Saudi, hari ini.

Keberangkatan tiba baginda pada pukul 1.30 tengah hari waktu tempatan (6.30 petang waktu Malaysia) disambut penuh mesra Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al-Saud.

Lagu Negaraku dan lagu kebangsaan Arab Saudi dimainkan sebagai tanda penghormatan sebelum Seri Paduka Baginda dengan diiringi Putera Mohammed bin Salman berjalan masuk ke istana melintasi kawalan kehormatan.

Selesai Istiadat Sambutan Negara, berlangsung pertemuan rasmi antara Sultan Ibrahim dan Putera Mohammed bin Salman.

Turut berangkat mengiringi Baginda, adalah Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor dan Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor.

Hadir sama Menteri Pertahanan  Mohamed Khaled Nordin selaku Menteri Pengiring; Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Amran Mohamed Zin, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dr. Azmi Rohani, dan Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi,  Syed Mohamed Bakri Syed Abdul Rahman.

Putera Mohammed bin Salman turut menghoskan Seri Paduka Baginda dalam majlis santapan negara bersama tetamu-tetamu kehormat.

Seri Paduka Baginda, bertitah pertemuan bersama Putera Mohammed bin Salman berlangsung dalam suasana penuh mesra dan menyentuh pelbagai perkara.

“Ini merupakan pertemuan julung kali kami berdua dan Putera Mohammed sangat berpengetahuan dalam pelbagai perkara yang dibincangkan.

“Saya turut berkongsikan beberapa pandangan terutama berkenaan pentingnya pelaksanaan dasar yang konsisten dalam kerajaan serta perhubungan antarabangsa.

“Dasar yang konsisten akan membawa kestabilan perhubungan dua hala serta memberi keyakinan untuk menarik pelaburan kepada sesebuah negara,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office (RPO).

Yang di-Pertuan Agong turut memuji Visi 2030 Arab Saudi, sebuah usaha membangunkan negara Tanah Suci itu ke tahap yang lebih baik dengan kepelbagaian ekonomi, pemerkasaan rakyat, serta penyediaan persekitaran yang rancak buat pelabur.

Nnn

Related posts

Leave a Comment