Bersatu mahu cari penyelesaian masalah dalaman

SEPANG 4 Nov. – Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu bertekad untuk berusaha secara kolektif bagi mencari penyelesaian masalah dalaman dengan semangat saling hormat menghormati, persefahaman yang baik dan tegas mempertahankan Perlembagaan parti.

Setiausaha Agung Bersatu,  Mohamed Azmin Ali berkata, Bersatu memandang serius masalah dalaman parti itu.

“MPT beriltizam untuk terus menjana usaha pengukuhan dan pengembangan perjuangan parti demi masa depan Malaysia yang lebih bermaruah dan cemerlang,” katanya dalam satu kenyataan selepas mesyuarat itu

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden Bersatu, Muhyiddin Mohd Yassin itu turut dihadiri Timbalannya,  Hamzah Zainudin; Ketua Penerangan Tun Faisal Ismail Aziz dan Ahli MPT,  Saifuddin Abdullah dan Rosol Wahid.

Bersatu dilaporkan bergolak susulan penggantungan dan pemecatan dua ahli Parlimennya, iaitu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang) dan  Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor) serta beberapa ketua bahagian diumumkan Lembaga Disiplin pada 14 Oktober lalu.

Dua lagi pemimpin tertinggi iaitu  Saifuddin Abdullah dan Khaliq Mehtab Ishaq turut menerima nasib sama apabila turut disingkirkan daripada jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

Sementara itu mesyuarat juga melantik lima individu untuk menganggotai Lembaga Rayuan, yang dipengerusikan oleh  Azhar Azizan @ Harun dalam usaha memperkukuhkan hala tuju parti dalam kadar segera.

Lembaga itu dianggotai Zulkifli Noordin;  Mohd Redzuan Md Yusof; Dr Abdul Latiff Ahmad dan Datuk Fahimee Ismail.

Mesyuarat juga membincangkan persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah dengan meletakkan calon-calon berwibawa yang mewakili Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk kerajaan Sabah.

MPT juga mendesak Kerajaan Madani menyemak semula Perjanjian Timbal Balas Perdagangan (ART) Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia demi memelihara kedaulatan negara dan kebebasan ekonomi masa depan.

Nn1

Related posts

Leave a Comment