KUALA LUMPUR 17 Okt. – Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) satu gagasan pelbagai kaum adalah kebangkitan rakyat yang menolak pengkhianatan, menolak boneka, dan menolak penindasan, kata Presiden Putra Dr Ibrahim Ali.
Katanya, dengan Misi Perjuangan Selamatkan Malaysia, IPR bukan untuk mempertahankan kaum masing-masing, tetapi untuk mempertahankan kesejahteraan kehidupan rakyat dan negara.
“Ramai antara mereka pernah dilabel rasis, tetapi akhirnya memilih jalan matang dan berjiwa besar. Inilah tanda politik baharu sedang tumbuh dan kejujuran menjadi asas baru perjuangan kepentingan rakyat dan negara di utamakan.
Dari sinilah api perjuangan baharu mula menyala kerana yang sedia ada sudah di landa dengan pelbagai masaalah. Rakyat terus derita dengan hidangan retorik, bohong, dusta, hipokrit dan munafik,” katanya.
Ibrahim berkata, beliau sudah lama menantikan kelahiran gagasan baharu yang mampu menghimpunkan kekuatan merentasi sempadan bangsa.
“Hari ini, impian itu menjadi nyata apabila tokoh-tokoh dari pelbagai latar belakang dan kaum mampu duduk semeja,” katanya dalam satu kenyataan berhubung pembentukan IPR baru-baru ini di bawah pimpinan Muhyiddin Yassin.
Selain Putra, 10 parti politik di luar blok kerajaan yang membentuk IPR adalah Bersatu, Pas, Gerakan, MIPP, Berjasa, Pejuang, Muda, MAP, Iman, dan Urimai.
Ibrahim berkata, dalam dunia politik yang sarat dengan ego dan kerakusan, Muhyiddin tampil bukan sekadar sebagai pemimpin parti, tetapi sebagai seorang negarawan saperti tokoh-tokoh sebelumnya dan sudah teruji.
Katanya , bekas Perdana Menteri itu melangkah melepasi sempadan kepartian, membawa roh penyatuan demi menyelamatkan negara yang kian kehilangan arah.
“Kepemimpinan beliau untuk mengembalikan maruah bangsa dan negara. Ini yang saya impikan dalam perjalanan perjuangan tanpa noktah kerana selama ini sentiasa tertipu atau hanyut dengan idolâ hipokrit dan munafik.
Tahniah dan terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin atas usaha murni ini dengan keberanian dan jiwa negarawan beliau. Semoga perjuangan ini direstui dan dicatat sebagai amal yang menyelamatkan bangsa dan negara,” katanya.
Menurut Ibrahim, IPR bukan sekadar pelengkap akar umbi kepada PN, tetapi roh baharu dalam perjuangan rakyat yang membuka ruang kepada semua bangsa untuk bersatu atas dasar benar-benar menjunjung asas Perlembagaan Negara.
Katanya, apabila parti-parti kecil diberi ruang untuk bersuara dan menyumbang dalam gagasan besar, itu bermakna politik baharu sedang bermula.
“Sikap terbuka ini bukan retorik, tetapi bukti keikhlasan dalam memperjuangkan perpaduan sebenar. Saya tidak terkejut dengan kritikan yang datang daripada pihak tertentu, termasuk mereka yang kononnya juara bangsa
Biarlah mereka mentertawakan, kerana apabila rakyat mula faham, ketawa itu akan bertukar menjadi gentar.
“Malaysia tidak perlukan slogan lama yang sudah kehilangan roh. Kita perlukan keberanian baharu untuk memulihkan ekonomi rakyat, mengembalikan maruah bangsa, dan mensucikan sistem daripada kerakusan kuasa,” katanya.
Nnnn
