PUTRAJAYA 16 Mei – Keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak meneruskan permohonan semakan kehakiman membabitkan kes Jill Ireland lawan Kerajaan Malaysia disebabkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang dikeluarkan ketika itu menggunakan pendekatan perundangan sivil dan pentadbiran.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata isu terbabit adalah berkaitan rampasan bahan penerbitan pada ketika itu dan bukanlah dari sudut teologi ataupun apa juga yang membabitkan penggunaan kalimah Allah.
“Ini kerana fungsi mahkamah itu sendiri adalah tidak bersesuaian untuk memutuskan hal ehwal berkaitan agama secara spesifik.
“Justeru dalam penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac 2021, jelas bahawa hakim membuat keputusan berdasarkan pendekatan secara pentadbiran dan tidak menyentuh mengenai penggunaan kalimah Allah serta ia konsisten dengan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kes Titular Roman Catholic Archbishop Kuala Lumpur lawan Menteri Dalam Negeri pada 2014.
Bersangkutan dengan hal ini, keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan permohonan rayuan itu adalah dibuat mengikut ‘case by case basis’ tanpa menjejaskan fakta bagi setiap satu kes yang sedang dalam tindakan mahkamah,” katanya selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Sambutan Aidilfitri Jabatan Imigresen di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Imigresen, Ruslin Jusoh.
KDN dan Kerajaan Malaysia semalam menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.
Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak Perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.
Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, pada 18 April lalu.
Beliau berkata, sewaktu proses permohonan rayuan sedang berjalan, KDN turut memperhalusi keputusan Mahkamah Tinggi itu yang mendapati terdapat percanggahan antara keputusan dibuat Kabinet pada 19 Mei 1986 dan arahan pentadbiran yang kemudiannya dikeluarkan KDN pada 5 Disember 1986.
“Oleh yang demikian, KDN mengambil langkah mengkaji dan mengemaskini satu arahan yang lebih menyeluruh bagi menangani isu penggunaan kalimah ‘Allah’, ‘Baitullah’, ‘Solat’ dan ‘Kaabah’ supaya selari dengan kepentingan dan kemaslahatan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini serta penyeliaan dan kawalan yang lebih berkesan terhadap bahan penerbitan yang menyalahi peruntukan perundangan yang berkuat kuasa,” katanya.
Di bawah arahan Kabinet pada Mei 1986, penganut Kristian boleh menggunakan empat perkataan bahasa Arab termasuk kalimah Allah dalam penerbitan mereka dengan syarat di luar kulit muka depan buku itu ditulis perkataan ‘Untuk agama Kristian.’
Kabinet mengeluarkan keputusan berkaitan polisi itu pada Mei 1986 berdasarkan satu nota oleh Tun Abdul Ghafar Baba, yang juga Timbalan Perdana Menteri ketika itu, kepada KDN.
Pada 5 Disember 1986, satu arahan dikeluarkan KDN kepada semua penerbitan agama Kristian bahawa penggunaan keempat-empat perkataan adalah dilarang sama sekali.
Saifuddin berkata, pendirian KDN adalah menghormati, memperakui, dan menerima pakai ketetapan enakmen negeri dan titah Yang di-Pertuan Agong pada 7 Februari lalu yang menzahirkan supaya dikekalkan dasar sedia ada yang sedang berkuatkuasa berhubung isu penggunaan kalimah Allah.
“Dalam hal ini, adalah ditegaskan bahawa KDN komited dalam urusan mempertahankan dan melindungi kepentingan Islam, orang Melayu dan institusi beraja di Malaysia khususnya dalam isu penggunaan kalimah Allah selaras Perkara 11(1) dan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Saifuddin berkata, kelemahan yang menyebabkan kerajaan kalah dalam kes terbabit (Jill Ireland) adalah kerana arahan yang bercanggah.
“Seawal tahun ini saya sudah meminta Bahagian Penguatkuasaan KDN meneliti satu persatu sudut perundangan supaya jadi satu arahan pentadbiran yang baharu dan lebih kemas.
“Selain mengambil kira tugas KDN yang menjaga masyarakat awam, mengurus masyarakat berbilang kaum, Perlembagaan mengiktiraf agama rasmi Persekutuan serta ada undang-undang sementara yang memberi kebebasan beragama tetapi ada sekatan sama ada dalam bentuk perundangan atau enakmen negeri yang tidak boleh dibuat pengembangan atau penyebaran agama lain ke atas penganut Islam,” katanya.
