Larang pelajar bawah 16 guna telefon pintar

PUTRAJAYA 17 Okt. – Mesyuarat Kabinet hari ini menyarankan tiga langkah termasuk larangan penggunaan telefon pintar bagi pelajar berumur 16 tahun ke bawah bagi menangani isu keselamatan di sekolah, kata Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, larangan itu adalah bagi membendung masalah disiplin, pengaruh media sosial serta permainan dalam talian yang sering menjurus kepada tingkah laku negatif, termasuk kes buli dan jenayah di sekolah.

Langkah lain ialah meningkatkan pemantauan keselamatan di sekolah, menaikkan had umur penggunaan media sosial kepada 16 tahun serta penambahbaikan kandungan pendidikan yang menekankan nilai dan akhlak.

Katanya, mesyuarat Kabinet hari ini menumpukan masa panjang terhadap isu pendidikan dan masalah disiplin pelajar yang membimbangkan ibu bapa serta masyarakat.

“Dalam hal seperti ini, kita tidak boleh ambil tindakan tergesa-gesa, ia kena teliti tetapi ada beberapa langkah yang boleh dilaksanakan segera,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Jannatul Firdaus, PPAM Seruling, Presint 5 di sini, hari ini.

Katanya, langkah pertama ialah memastikan keselamatan di sekolah diberi keutamaan dengan pemantauan rapi oleh pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Kita sudah bincang supaya pemantauan keselamatan sekolah tidak lagi dianggap tugas sampingan. Polis dan KDN akan pastikan keselamatan pelajar dijamin sepenuhnya,” katanya.

Katanya, kedua ialah menaikkan had umur penggunaan media sosial ke 16 tahun susulan kebimbangan terhadap pengaruh media sosial dan permainan dalam talian yang boleh mencetuskan tingkah laku negatif.

“Kita sedang lihat kemungkinan mengehadkan atau melarang penggunaan media sosial untuk usia 16 tahun ke bawah (di sekolah).

“Banyak negara sudah melaksanakan dasar ini. Telefon masih boleh digunakan untuk pembelajaran, tetapi dengan kawalan ketat. Dalam hal ini, peranan ibu bapa amat penting,” katanya.

Sementara itu, langkah lain turut membabitkan penambahbaikan kandungan pendidikan bagi memastikan ia membentuk nilai dan akhlak pelajar selaras dengan konsep Malaysia Madani.

“Dalam kerangka Madani, kita tekankan soal nilai, akhlak dan pendidikan yang seimbang, tidak diselit fahaman sempit atau ekstrem,” katanya.

Anwar turut memaklumkan bahawa Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek akan memberikan penjelasan lebih lanjut berhubung langkah itu dalam masa terdekat termasuk mengadakan sesi libat urus dengan pihak sekolah, PIBG dan masyarakat.

Beliau turut menyeru semua pihak, termasuk guru besar, guru dan PIBG, memberi kerjasama penuh dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan pelajar sentiasa terpelihara.

Nnn

Related posts

Leave a Comment