WHO beri amaran wabak chikungunya

GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran wabak virus chikungunya berisiko tinggi melanda seluruh dunia dan meminta tindakan segera untuk mencegahnya.

Menurut agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu,  terdapat tanda amaran awal yang mirip kepada penularan wabak itu dua dekad lalu dan mahu mencegahnya daripada berulang.

Chikungunya adalah penyakit virus bawaan nyamuk yang menyebabkan demam dan sakit sendi. Dalam sesetengah kes ia boleh membawa maut.

Diana Rojas Alvarez dari WHO memberitahu, Chikungunya bukanlah penyakit yang diketahui secara meluas, tetapi ia telah dikesan dan disebarkan di 119 negara di seluruh dunia, menjadikan 5.6 bilion orang berisiko.

Dalam taklimat akhbar, beliau mengimbas kembali 2004 hingga 2005, apabila wabak chikungunya melanda Lautan Hindi, di wilayah pulau kecil sebelum merebak ke seluruh dunia dan menjejaskan hampir setengah juta orang.

Hari ini corak yang sama muncul, di mana sejak awal 2025 di pulau Reunion, Mayotte dan Mauritius semuanya telah melaporkan kes Chikungunya yang tinggi.

Satu pertiga daripada penduduk Reunion dianggarkan telah dijangkiti.

Menurut WHO, chikungunya mempunyai gejala serupa dengan demam denggi dan penyakit virus Zika, menjadikannya sukar untuk didiagnosis.

Virus chikungunya disebarkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk betina yang dijangkiti, kebanyakannya nyamuk spesis Aedes aegypti dan Aedes albopictus.

Terbaru, spesis yang dikenali sebagai nyamuk harimau, menjelajah lebih jauh ke utara ketika dunia semakin panas kerana perubahan iklim akibat perbuatan manusia.

Mereka aktif terutama pada waktu siang, dengan aktiviti puncak selalunya pada awal pagi dan lewat petang.

Nnn

Related posts

Leave a Comment