AS tarik diri dari UNESCO

ISTANBUL – Amerika Syarikat (AS) menarik diri daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) untuk kali ketiga, berkuat kuasa 31 Disember 2026.

Penarikan itu dibuat atas alasan UNESCO menerima Palestin sebagai anggota dan konflik dengan dasar luar ‘America First’ oleh pentadbiran Presiden AS, Donald Trump.

“Hari ini, AS memaklumkan kepada Ketua Pengarah, Audrey Azoulay, mengenai keputusan AS untuk menarik diri daripada UNESCO,” kata jurucakap Jabatan Negara, Tammy Bruce, dalam satu kenyataan.

Menurut Bruce, pembabitan berterusan dalam agensi yang berpangkalan di Paris itu ‘bukan demi kepentingan nasional’ Washington.

Sebelum ini, Washington juga menarik diri daripada organisasi itu pada 1984 ketika pentadbiran Presiden Ronald Reagan, atas alasan agensi itu terlalu dipolitikkan serta sebab lain.

AS kembali menyertai UNESCO pada 2023 bawah pentadbiran Presiden ketika itu, Joe Biden, sebagai negara anggota ke-194.

Bruce menegaskan, penyertaan AS dalam organisasi antarabangsa selepas ini akan berdasarkan keutamaan ‘memperjuangkan kepentingan Amerika dengan jelas dan tegas.’

Januari lalu, Trump juga mengarahkan AS menarik diri dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang didakwanya gagal menangani pandemik Covid-19 dan krisis kesihatan global lain dengan berkesan.

Trump mendakwa WHO tidak bebas daripada “pengaruh politik yang tidak wajar oleh negara anggota WHO” dan mengenakan bayaran kewangan “tidak adil dan membebankan” kepada Amerika Syarikat berbanding sumbangan negara besar lain seperti China.

Nnn

Related posts

Leave a Comment