Malaysia Biru garis 8 ikhtiar jika BN ke Putrajaya

KUALA LUMPUR 11 Sept . –  Ahmad Zahid Hamidi menggariskan Agenda Malaysia Biru menjelang 100 tahun usia kemerdekaan dengan lapan ikhtiar utama bagi membentuk negara jika UMNO dan Barisan Nasional (BN) kembali menerajui Putrajaya.

Presiden UMNO itu berkata, Agenda Malaysia Biru membawa maksud Malaysia berdaulat dan bersatu, mewujudkan negara berpendapatan tinggi, makmur, saksama dan disegani di seluruh dunia.

“Dengan agenda Malaysia baharu ini, kita mahu mencipta kekayaan negara, membina semula modal insan, menjaga kesejahteraan, menghadapi krisis, memelihara rakyat, membina kepercayaan dan mempertahan kepentingan nasional,” katanya.

Ketika berucap menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini hari ini, Pengerusi BN itu turut menyenaraikan lapan ikhtiar

“Ikhtiar yang pertama menjadikan Malaysia Negara Pencipta. Kita bermula sebagai negara pertanian. Kemudian kita melakukan lonjakan perindustrian. Kini kita mesti melakukan anjakan yang seterusnya. Malaysia mesti menjadi Negara Pencipta.

Kita mahu dunia menggunakan teknologi ciptaan anak bangsa, membeli jenama Malaysia. Kita mahu bergerak daripada Made in Malaysia kepada Made by Malaysia. Negara mesti meletakkan sasaran syarikat teknologi dan industri bertaraf global yang Invented, Designed and Owned by Malaysian,” katanya.

Ikhtiar kedua menjadikan Malaysia Negara Berkemahiran dengan mengarusperdanakan TVET, dengan harapan anak-anak Politeknik, GiatMARA, IKM dan professional Huffaz sama-sama membentuk Malaysia menjadi Skills Nation.

Katanya , ikhtiar ini meletakkan kemahiran, kepakaran dan pembelajaran sepanjang hayat sebagai mata wang baharu kemajuan dengan menyasarkan 80 peratus tenaga kerja negara berada dalam kategori berkemahiran tinggi dan memperoleh gaji premium.

Manakala ikhtiar ketiga menjadikan Malaysia Negara Pemilik di mana rakyat yang benar-benar berdaya maju mesti mempunyai pemilikan seperti rumah, perusahaan, saham, harta intelek, simpanan mahupun aset produktif.

“Sebab itu saya mahu kita bergerak daripada masyarakat yang hanya berpendapatan kepada masyarakat yang memiliki dengan sasaran 60 peratus daripada rakyat dewasa Malaysia memiliki secara langsung sekurang-kurangnya satu aset yang menjana nilai,” katanya.

Ikhtiar keempat pula menjadikan Malaysia Negara Sejahtera iaitu berani mengubah cara menilai kejayaan ekonomi.

“KDNK itu penting. Tetapi rakyat tidak hidup di dalam angka KDNK. Mereka hidup dengan gaji yang dibawa pulang. Bayangkan seorang ayah yang berpendapatan RM5,000 ringgit tentunya memikirkan komitmen bulanan.

Macam mana nak bayar ansuran rumah, yuran pendidikan, kos perubatan, malah belum kira kuota BUDI yang kehabisan. Tentunya ini menimbulkan keresahan, apakah masih ada simpanan untuk meneruskan kehidupan hari esok,” katanya.

Justeru, Negara Sejahtera mestilah meletakkan sasaran setiap keluarga mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus pendapatan boleh guna (surplus) selepas memenuhi keperluan asas bagi menyimpan, melabur dan menikmati kehidupan.

Berikutan dunia hari ini semakin tidak menentu, ikhtiar kelima mahu menjadikan Malaysia Negara Berdaya Tahan, dalam menghadapi krisis dengan mengambil pengajaran kesan seperti pandemik, perang, banjir dan serangan siber.

“Sasaran kita, Malaysia mesti mempunyai sekurang-kurangnya 70 peratus kemandirian terhadap keperluan strategik merangkumi keterjaminan makanan, bekalan perubatan, hubungan telekomunikasi, sumber tenaga dan air, pertahanan dan industri strategik dalam tempoh tersebut.

Ikhtiar keenam pula menjadikan Malaysia Negara Peduli seiring dengan negara sedang menuju masyarakat menua.

“Kita mesti membina sebuah Care Nation atau Negara Peduli, yang menjamin akses terhadap penjagaan kanak-kanak, warga emas, orang kurang upaya dan pesakit jangka panjang. Para penjaga mestilah menjadi sebahagian daripada senibina ekonomi negara, bukan sekadar isu kebajikan di pinggir dasar,” katanya.

Mengenai ikhtiar ketujuh, BN bertekad menjadikan Malaysia Negara Beramanah di mana rakyat percaya kepada mahkamah dan bukannya mahkamah diperalatkan.

Katanya, siapa pun yang menjadi Kerajaan, institusi negara tidak boleh dijadikan alat demi kepentingan politik dan dengan ikhtiar ini, Malaysia disasarkan akan berada dalam kelompok 20 negara terbaik dunia dari segi integriti, tadbir urus dan kedaulatan undangundang. Kita mahu rule of law, bukan rule by law.

“Good governance bukan sekadar teriakan dalam manifesto. Sebaliknya ia adalah kepercayaan bahawa kuasa digunakan untuk amanah dan bukan ruang untuk melakukan penindasan,” katanya.

Menerusi ikhtiar kelapan menjadikan Malaysia Negara Berdaulat, BN mahu hubungan luar negara yang luas, tetapi setiap hubungan mesti akhirnya menjawab satu persoalan — apakah kepentingan Malaysia yang berjaya kita lindungi?

Di bawah ikhtiar ini, matlamat utamanya ialah Malaysia mesti muncul sebagai kuasa pertengahan paling berpengaruh di dunia dengan setiap perjanjian strategik utama tetap mempertahankan kepentingan nasional.

Ahmad Zahid berkata, dengan lapan ikhtiar dan sasaran yang telah digariskan melalui Agenda Malaysia Biru, BN akan menyusun semula keutamaan negara.

Ia bermula dengan penstrukturan percukaian termasuk GST pada kadar yang munasabah, menyelaraskan jaminan sosial rakyat, memudahkan urusan perniagaan serta membangunkan ekonomi wilayah berasaskan kekuatan Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Pada masa yang sama, kita mahu memperbaharui perjanjian dengan penjawat awam, melindungi kebajikan guru, mengarusperdanakan muamalah Islam dan memastikan PuTERA35 dilaksanakan sebagai agenda seluruh Kerajaan,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment