KUALA LUMPUR 11 Sept. – Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, persefahaman politik atau ‘Tafahum Siyasi’ yang dibina bersama parti, mempunyai asas-asas yang perlu disepakati bersama dan ada prasyarat yang tidak boleh dirundingi.
Presiden UMNO itu berkata, asas yang perlu disepakati adalah mengutamakan persamaan demi maslahah umum, hormati perbezaan ideologi, identiti dan garis sempadan masing-masing dan berpegang kepada prinsip toleransi dan anjal dalam membuat keputusan.
Katanya, persefahaman ini bukan hanya kerana mempunyai musuh yang sama sebaliknya akan mewujudkan kestabilan politik negara, merancakkan ekonomi demi kemakmuran, menjamin keadilan kepada semua dan memperkukuhkan perpaduan rakyat dan antara wilayah.
Bagaimanapun Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata ada prasyarat kepada persefahaman politik ini yang tidak boleh dirundingi.
“Jangan khianat-mengkhianati. Jangan bina persefahaman pada waktu siang tetapi merancang menjatuhkan rakan di malam hari. Jangan perjanjian ditandatangani, dalam masa yang sama ia dimungkiri.
Jika kerbau diikat pada tali, manusia diikat dengan janji,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Beliau juga menjelaskan Kolaborasi Agung bukan penggabungan parti sebaliknya ia adalah persefahaman politik antara gabungan parti-parti politik yang sedia ada di negara ini bagi mengelakkan pertembungan yang merugikan.
“Saya faham… Saya juga boleh membaca resahnya orang Melayu… Mereka tak mahu lagi kita bertembung. Mereka tak nak lagi kita berbalah sesama sendiri. Di dewan ini kita telah melalui episod linangan air mata.
Di pentas ini kita berjanji setia. Di luar sana persaudaraan ini disambut dengan gembira. Namun… kehadiran orang ketiga meretakkan hubungan yang dibina. Sudah-sudahlah… kita lupakan episod lama.
Marilah kita menjalin semula penyatuan ini yang begitu didambakan oleh orang Melayu,” katanya.
Bagaimanapun katanya, dalam membina titik temu, mana-mana pihak tidak boleh dipaksa mencairkan identitinya, dalam erti kata lain, dengan siapa pun bekerjasama, UMNO tetap UMNO. Barisan Nasional tetap Barisan Nasional.
Katanya, Kolaborasi Agung melalui persefahaman ini perlu mengambil ibrah Perjanjian Hudaibiyah yang menatijahkan hikmah yang cukup besar, sehingga membawa kepada pembukaan kota Mekah atau ‘Fathu Makkah’.
“’Fathu Makkah’ mengajar bahawa kemenangan tidak hanya diukur pada kemampuan memperoleh kuasa. Ukuran yang lebih besar ialah bagaimana kuasa itu digunakan setelah kemenangan berada di tangan.
“’Fathu Makkah’ juga turut dikenali sebagai hari berkasih sayang atau ‘Yaumul Marhamah’. Jika ‘Fathu Makkah’ menjanjikan kemaafan, keampunan dan keselamatan. Begitu jugalah dengan Rumah Bangsa,” katanya.
Mengenai persefahaman politik selepas ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, ia antara lain bertujuan mewujudkan kestabilan negara, kemakmuran dan menjamin keadilan kepada semua, tanpa mengorbankan identiti masing-masing.
“UMNO tetap UMNO (melalui persefahaman baharu), BN tetap BN,” katanya mengajak seluruh ahli parti melupakan ‘episod lama’ dan kembali menaut kerjasama dengan parti tertentu demi maslahat umum.
Insya-Allah dengan rakan baharu nanti, kita berazam tidak akan mengulangi keadaan sedemikian (dalam mesyuarat kata lain, luar mesyuarat kata lain),” katanya.
Nnn
