KUALA LUMPUR 9 Sept. – UMNO kesal dengan kenyataan Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) yang didakwa seolah-olah mempertikaikan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong, kata Setiausaha Agungnya, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau menegaskan, kuasa pengampunan merupakan hak prerogatif Yang di-Pertuan Agong yang termaktub dalam Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan dan tidak seharusnya dipertikaikan mana-mana pihak.
“Jika PH boleh menyokong pengampunan yang diterima oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun beliau belum selesai menjalani hukuman penuh ketika itu, kenapa pula piawaian yang berbeza perlu dikenakan kepada pihak lain?
Berbeza dengan PH, UMNO tidak berhasrat mendahului pertimbangan Lembaga Pengampunan atau menuntut apa-apa keputusan tertentu. Apa jua keputusan yang dibuat melalui proses yang sah hendaklah dihormati oleh semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Majlis Setiausaha PH dalam kenyataan menegaskan mana-mana individu yang disabitkan kesalahan rasuah atau salah guna kuasa, khususnya membabitkan kes berprofil tinggi, perlu menjalani sepenuhnya hukuman yang ditetapkan.
Pendirian itu selari dengan prinsip reformasi institusi, tatakelola baik serta penolakan terhadap sebarang bentuk rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menjadi asas perjuangan gabungan berkenaan.
Menurut kenyataan itu, kes-kes rasuah berprofil tinggi sebelum ini telah memberikan kesan besar terhadap nama dan reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa.
Kenyataan PH itu bagaimanapun tidak merujuk mana-mana kes atau individu, tetapi dikeluarkan susulan laporan bahawa Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dijangka bersidang Jumaat ini untuk mempertimbangkan, antara perkara lain, permohonan bekas Perdana Menteri, Najib Razak, untuk mendapatkan pengampunan terhadap sabitan berkaitan skandal 1MDB.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi juga menyifatkan tindakan terkini itu secara tidak langsung menyerlahkan ‘warna sebenar’ PH yang sudah beberapa kali meremeh dan mempertikai Institusi Raja-Raja Melayu demi kepentingan politik mereka.
“Ini jelas bertentangan dengan prinsip dan syarat yang telah disepakati bersama dalam perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia.
UMNO kekal teguh mendukung institusi Yang di-Pertuan Agong serta kuasa-kuasa Baginda. Sebarang usaha bagi menekan atau menanam prasangka buruk secara langsung atau tidak langsung terhadap institusi ini adalah satu bentuk pengkhianatan kepada Perlembagaan dan negara,” katanya.
Nnnn
