PUTRAJAYA 28 Okt . – Urusan perkhidmatan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Mohd Shuhaily Mohd Zain masih di peringkat untuk dimuktamadkan.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan berkata, pihak kementerian ambil maklum serta menghargai pandangan yang disuarakan oleh masyarakat berhubung perkara berkenaan.
“KDN akan memastikan urusan tersebut dilaksanakan secara teratur mengikut peraturan dan tatacara yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.
Berhubung peranan AKPS yang baharu memasuki tahun kedua penubuhannya, KDN menyifatkan agensi berkenaan sebagai entiti kritikal dalam memperkukuh pengurusan kawalan dan perlindungan sempadan negara.
“Sebagai agensi penting yang berpegang teguh pada pengukuhan keselamatan sempadan, kelancaran urusan, perlindungan hasil negara serta integriti dan disiplin, keutamaan KDN adalah memastikan AKPS terus berupaya melaksanakan peranannya secara optimum demi menjamin keselamatan serta kedaulatan negara,” menurut kenyataan itu.
KDN turut memberi jaminan bahawa aspek kesinambungan operasi dan kelancaran pelaksanaan tugas harian di AKPS sentiasa diberikan tumpuan penuh sepanjang kementerian menguruskan hal ehwal perkhidmatan pegawai terbabit.
Nnn
