Peperiksaan norma baharu

SERAMAI 401,105 pelajar di seluruh negara mula menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 mulai hari ini 22 Februari dalam suasana berbeza ketika negara masih berdepan pandemik Covid-19.

Ketika kebiasaannya waktu ini mereka sedang menunggu keputusan peperiksaan, tetapi hari ini baharu bermula setelah peperiksaan itu terpaksa ditangguhkan pada November lalu akibat penularan wabak Covid-19 sejak Mac 2020.

Kelainan peperiksaan kali ini calon-calon memasuki dewan peperiksaan bukan sekadar berbekalkan alat tulis tetapi juga perlu membawa ‘perisai’ iaitu pelitup muka atau pelindung muka bagi mencegah penularan wabak tersebut.

Kumpulan pelajar Tingkatan Lima termasuk pelajar Sijil Vokasional Malaysia (SVM) itu menjadi kumpulan pertama yang menduduki peperiksaan SPM dalam pembudayaan norma baharu.

Hari pertama peperiksaan hari ini, calon akan menjawab subjek Bahasa Melayu Kertas 1 dan 2, masing-masing bermula pukul 8 pagi dan 2 petang.

Bagi menjamin keselamatan calon sepanjang peperiksaan, penyediaan 3,310 pusat peperiksaan SPM di seluruh negara dilaksanakan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan (KKM), termasuklah proses disinfeksi dewan peperiksaan.

Semua pelajar juga perlu menyerahkan borang perisytiharan kesihatan yang lengkap setiap hari sebelum memasuki dewan peperiksaan selain mengambil suhu badan dan memakai pelitup muka sepanjang tempoh menduduki peperiksaan.

Calon yang didapati positif Covid-19 atau calon yang diarahkan menjalani kuarantin kerana merupakan kontak rapat tidak dibenarkan menduduki peperiksaan pada hari tersebut dan hanya boleh menduduki kertas peperiksaan yang dijadual semula selepas disahkan berada dalam keadaan sihat oleh doktor yang merawat berserta surat pengesahan doktor.

Seramai 48,014 pengawas peperiksaan akan memastikan SOP yang ditetapkan dipatuhi sepenuhnya sepanjang tempoh peperiksaan yang dijadualkan berlangsung hingga 25 Mac.

Calon SPM pada hari ini juga merupakan kumpulan pelajar yang telah mengikuti sesi kelas SPM tahunan terpanjang iaitu hampir 14 bulan yang memaksa mereka beralih kepada pembelajaran dalam talian menerusi aplikasi seperti Google Meet, Google Classroom dan Skype gara-gara penularan pandemik Covid-19.

Peperiksaan SPM, SVM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) sepatutnya diadakan pada November setiap tahun, namun terpaksa ditangguh kepada Januari 2021 sebelum dianjak sekali lagi kepada Februari  berikutan pandemik Covid-19.

Related posts

Leave a Comment