SEREMBAN 9 Sept. – Menteri Besar, Ismail Lasim menjelaskan bahawa beliau telah dipaksa menandatangani dokumen Surat Cara Proklamasi pemecatan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, yang tular di media sosial sejak malam semalam.
Menurut beliau, dokumen berkenaan ditandatangani tanpa kerelaannya dan laporan polis berhubung perkara berkenaan juga telah dibuat sekitar pukul 6 petang semalam bagi membolehkan siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa.
“Kerajaan Negeri berpendirian, Surat Cara tersebut adalah tidak memenuhi proses dan tatacara yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959. Oleh itu, ia adalah tidak sah, tidak berperlembagaan dan tidak boleh dikuatkuasakan,” jelas beliau.
Menerusi kenyataannya, beliau berkata, bagi menangani isu perbalahan adat yang berbangkit, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan yang bersidang semalam (8 September) turut bersetuju untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pendamai.
Katanya, penubuhan jawatankuasa itu adalah sebagai wadah untuk mencari penyelesaian isu adat secara harmoni, berhemah, serta berlandaskan semangat muafakat.
Pada masa sama, Ismail turut merujuk kepada Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan jaminan Persekutuan terhadap hak dan kedudukan Raja di sisi Perlembagaan.
Tindakan itu bagi memastikan kemuliaan dan kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan terus terpelihara.
“Saya sekali lagi menzahirkan sokongan penuh serta taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Tuanku Muhriz sebagai satu-satunya Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan berdaulat,” tegasnya.
Krisis istana Negeri Sembilan menjadi lebih meruncing apabila Undang Yang Empat termasuk Undang yang dipertikai menunjukkan dokumen yang didakwa proklamasi pemecatan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Datuk Maarof Mat Rashad dalam satu sidang media bersama Abdul Rahim Yasin serta Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah menunjukkan dokumen yang didakwa ditandatangani Ismail dalam surat cara proklamasi berkaitan Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Tandatangan Menteri Besar itu tertera pada surat cara proklamasi bertarikh 3 Ogos lalu yang antara lain menyentuh keputusan Undang Yang Empat berhubung penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada 19 April lalu.
Nnnn
