Status perkhidmatan Shuhaily dirujuk kepada AGC

SHAH ALAM 28 Okt . – Status perkhidmatan Mohd Shuhaily Mohd Zain di Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), kata Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail.

Beliau berkata, langkah itu bagi mendapatkan nasihat perundangan sebelum sebarang keputusan berkaitan penamatan atau pemendekan tempoh perkhidmatannya diangkat untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, perkara itu turut diserahkan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) untuk tindakan lanjut.

Menurut Mohd Khalid, rujukan kepada AGC perlu dibuat kerana penugasan Mohd Shuhaily di AKPS berdasarkan kontrak peminjaman kader daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tempoh dua tahun yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Kita merujuk perkara ini kepada AGC sebab penugasan Datuk Seri Mohd Shuhaily di AKPS untuk tempoh selama dua tahun, macam kontrak, jadi kontrak ini dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Jadi sekiranya berlaku apa-apa perkara yang membabitkan tahan kerja dan sebagainya, tindakannya kita bergantung kepada nasihat AGC. Tapi apa pun perlu diangkat kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung penamatan kontrak dan sebagainya,” katanya selepas Persidangan Nasional Reformasi Kerenah Birokrasi 2026 anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), di sini, hari ini.

Mohd Khalid berkata, pandangan AGC diperlukan bagi memastikan sebarang tindakan terhadap Mohd Shuhaily mengambil kira terma kontrak yang ditandatangani pihak berkaitan serta keperluan mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Beliau diangkat kepada AGC untuk mendapatkan pandangan perundangan sebab beliau ada kontrak yang ditandatangani antara pihak yang berkaitan selama lebih kurang dua tahun. Perkara ini mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk pelantikan.

“Jadi bila kita bertindak atas sesuatu perkara, kita perlu dapat balik perkenan Yang di-Pertuan Agong sama ada tempoh perkhidmatan itu dipendekkan atau sebagainya,” katanya.

Katanya, selepas proses perundangan di peringkat AGC dan urusan mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong dimuktamadkan, perkara itu akan dikembalikan kepada PDRM untuk tindakan susulan.

“Bila selesai proses itu, dia akan dikembalikan kepada PDRM sebab Datuk Seri Mohd Shuhaily ini adalah salah seorang pegawai polis yang masih lagi berkhidmat.

Sekembalinya nanti, mungkin saya akan memberikan keterangan yang lebih lanjut mengenai perkara yang perlu dilaksanakan atau tindakan susulan, insya-Allah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar yang turut hadir memaklumkan sebarang tindakan atau urusan lanjut berhubung isu membabitkan pegawai berkaitan diserahkan sepenuhnya kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Ketua Polis Negara.

“Bagi PDRM, uruskan dulu,” katanya.

Nnnnj

Related posts

Leave a Comment