KUALA LUMPUR 9 Sept. – Jika gelombang biru melanda Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini, di Dewan Merdeka pula diwarnai lautan merah pada sesi Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 (PAU 2026) petang ini.
Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyifatkan perhimpunan itu sebagai ruang penting untuk seluruh keluarga parti kembali berhimpun, menyatukan fikrah serta memperkukuh kekuatan UMNO.
“Syukur Alhamdulillah, hati saya cukup gembira melihat setiap aras dan pelosok Dewan Merdeka dipenuhi lautan merah,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Menurut Ahmad Zahid, beliau berasa gembira melihat Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) dipenuhi para perwakilan yang hadir membawa suara serta amanah akar umbi dari seluruh negara.
Beliau turut berharap amanat yang disampaikan pada perhimpunan tersebut dapat menjadi panduan kepada seluruh ahli parti untuk melihat ke hadapan dengan lebih jelas dan yakin.
Katanya, PAU 2026 perlu dimanfaatkan sebagai medan untuk seluruh warga UMNO terus memperkukuh kesatuan dan merapatkan saf perjuangan.
“Jadikanlah perhimpunan ini ruang untuk kita terus menyatukan fikrah, merapatkan saf dan memperkukuh kekuatan parti. Berbincanglah, berbahaslah dan berikanlah pandangan dengan sebaiknya.
Selamat bersidang buat seluruh keluarga UMNO. Rumah Bangsa ini milik kita dan menjadi tanggungjawab bersama untuk terus menjaganya, memperkukuhkannya dan mewariskan perjuangannya kepada generasi seterusnya,” katanya.
Nnnnn
