MASJID TANAH 28 Okt . – “Kita lupakan permasalahan yang lalu… kita hadapi 31 Oktober ini sebagai satu pasukan baharu di negeri Melaka ini,” demikian gesaan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau mahu jentera BN dan Perikatan Nasional (PN) melupakan permusuhan politik lalu bagi memastikan persefahaman baharu antara kedua-dua gabungan itu mampu diterjemahkan kepada kemenangan Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRN) Melaka.
Presiden UMNO itu berkata kerjasama berkenaan mencerminkan landskap politik baharu di Melaka yang menuntut kedua-dua pihak mengetepikan perbezaan terdahulu demi mencapai matlamat bersama.
Katanya, walaupun BN dan PN sebelum ini berdepan hubungan politik yang tidak mesra, kedua-dua pihak perlu menerima realiti baharu itu dengan membina kerjasama sebagai rakan strategik.
“Oleh kerana ini adalah rakan kongsi baharu, rakan strategik kita… walaupun dulu kita alergik dengan hijau dan mereka alergik dengan biru, namun kini ia berubah dan menjadi satu landskap politik baharu di Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Jentera BN Parlimen Masjid Tanah, di Villa d’ Acqua Kampung Pulau, di sini malam tadi.
Ahmad Zahid berkata, persefahaman itu perlu disusuli komitmen jentera kedua-dua pihak untuk bergerak secara tersusun, sekali gus memastikan kerjasama politik berkenaan memberikan kelebihan kepada mereka dalam persaingan pilihan raya.
Beliau juga berkata BN memberikan kebebasan kepada rakan strategiknya untuk berunding sesama parti komponen mereka bagi menentukan pembahagian kerusi di tujuh kerusi yang tidak ditandingi BN.
BN bertanding di 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), membabitkan 18 kerusi ditandingi calon UMNO, dua calon MCA dan satu calon MIC.
Nnnn
