MDN gesa benarkan solat Jumaat, hari raya

MAJLIS Dakwah Negara (MDN) menggesa kerajaan membenarkan solat Jumaat dan Hari Raya Aidilfitri diadakan di masjid – masjid di seluruh negara bagi ‘menyempurnakan’ kebijaksanaan kerajaan yang telah mengimbangi antara objektif kesihatan masyarakat dan kepentingan ekonomi.

Pengerusinya, Dr. Mahmood Zuhdi Ab Majid berkata, cadangan perhimpunan bersyarat di surau dan masjid itu juga dibuat setelah mengambil kira kedudukan kedua-dua tuntutan agama tersebut merupakan Syi’ar Islam yang tidak boleh diabaikan dalam tempoh yang lama.

“MDN berpendapat objektif ibadat juga perlu diambil kira bagi mengatasi kesan gugatan psikologi dan spiritual oleh dasar penjarakan sosial yang diperkenalkan sebelum ini tidak kurang seriusnya terhadap kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi tujuan itu, MDN mencadangkan:

a) Kebenaran diberikan kepada masjid – masjid utama misalnya Masjid – masjid Negeri dan Masjid – masjid Daerah yang mampu memenuhi syarat – syarat yang tersebut dalam perintah PKPB yang baru diperkenalkan.

b) Solat tersebut hendaklah dihadiri oleh hanya tidak lebih daripada 50 orang yang terdiri daripada kalangan mereka yang benar – benar dikenali oleh pihak pentadbiran masjid dan memenuhi syarat  kesihatan yang membolehkan mereka berada dalam sesuatu perhimpunan yang terkawal.

c) Perhimpunan tersebut hendaklah tertakluk kepada semua syarat kesihatan dan keselamatan sosial seperti mana yang dikenakan ke atas sektor lain yang menerima faedah daripada syarat – syarat yang terdapat dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat ( PKPB ) yang baru diperkenalkan itu.

Katanya, MDN menyokong keputusan kerajaan mengurangkan kawalan pergerakan sosial dengan memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat ( PKPB) sebagai ganti kepada Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP) dalam melaksanakan dasar penjarakan sosial bagi mengatasi wabak Covid – 19

Katanya, di bawah perintah itu, berbagai-bagai kelonggaran diberikan terutama sekali bagi mengatasi kesan buruk dasar penjarakan sosial terhadap perkembangan ekonomi negara.

“Pengimbangan antara objektif kesihatan masyarakat dan kepentingan ekonomi negara merupakan satu kebijaksanaan yang tinggi yang telah ditunjukkan oleh kerajaan dan MDN berpendapat objektif ibadat juga perlu diambil kira,” katanya.

Related posts

Leave a Comment