DOHA – Qatar menafikan dakwaan Iran bahawa tiga juruterbang tenteranya ditahan selepas pesawat pejuang yang mereka kendalikan ditembak jatuh ketika operasi ketenteraan pada peringkat awal konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.
jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed Mohammed Al Ansari, menolak dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai kenyataan yang mengelirukan.
Beliau berkata pihak Qatar ada berhubung dengan juruterbang terbabit selepas mereka memasuki ruang udara negara itu, namun tidak menerima sebarang maklum balas.
“Langkah yang perlu telah diambil bagi mempertahankan wilayah Qatar selaras dengan undang-undang antarabangsa,” katanya menerusi kenyataan di platform X.
Al Ansari turut memaklumkan pasukan mencari dan menyelamat Qatar telah menjalankan operasi sepenuhnya untuk mengesan mangsa insiden berkenaan serta berjaya menemukan mayat seorang juruterbang.
Qatar telah menghubungi Iran bagi menyelaraskan proses penyerahan mayat tersebut dan menjemput pihak berkuasa Iran meneliti butiran operasi mencari dan menyelamat, namun belum menerima maklum balas daripada Tehran.
Sementara itu, dalam surat kepada Presiden Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), Mirjana Spoljaric, Brigedier Jeneral Mohammad Bagherzadeh mendakwa tiga juruterbang Iran, Javad Salehi, Abdul Majid Dashtian dan Imran Behroshian, telah ditahan selama enam bulan oleh Qatar.
Beliau berkata juruterbang terbabit terjun keluar daripada pesawat masing-masing selepas dua pesawat pejuang Iran ditembak sistem pertahanan udara ketika operasi ketenteraan pada 2 Mac 2026, iaitu hari ketiga perang antara AS dan Iran.
Bagherzadeh turut mendakwa seorang lagi juruterbang, Majid Kazemi, terbunuh dalam operasi sama dan mayatnya telah dipulangkan kepada Iran.
Menurut beliau, ketiga-tiga juruterbang itu ditahan selepas mendarat di sebuah pangkalan tentera Qatar, selain didakwa tidak dibenarkan menghubungi atau bertemu ahli keluarga mereka.
Nnnn
