BORDEAUX – Lebih 350,000 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka selepas kebakaran hutan terbesar melanda Perancis dan Sepanyol sejak semalam, antara yang terburuk pernah berlaku di kedua-dua negara ketika tempoh aman.
Kebakaran besar yang berlarutan beberapa hari dilaporkan di barat daya Perancis dan tengah Sepanyol berhampiran Madrid.
Jurucakap Persekutuan Bomba Kebangsaan Perancis (FNSPF), Eric Brocardi, berkata kebakaran itu mencetuskan fenomena luar biasa dikenali sebagai ‘pyrocumulonimbus’, iaitu api besar yang mampu menghasilkan angin sendiri serta kilat yang boleh mencetuskan kebakaran baharu.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron, memanggil mesyuarat Kabinet krisis pagi ini bagi membincangkan keadaan kecemasan itu, menurut pejabatnya.
Di Sepanyol, Menteri Dalam Negeri, Fernando Grande-Marlaska, berkata kebakaran masih merebak sejak semalam, tetapi dalam keadaan lebih terkawal.
Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, pula berkata beliau menjangkakan kesukaran lebih besar ketika melawat kawasan kebakaran di wilayah Avila, barat Madrid, pada Ahad dan Valencia hari ini.
Sementara itu, anggota bomba di Sepanyol berdepan kebakaran baharu semalam, berhampiran bandar pesisir timur Valencia, menyebabkan 15,000 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka.
Ketua Perlindungan Awam Sepanyol, Virginia Barcones, menyifatkan kebakaran di sekitar Avila sebagai ‘raksasa’ yang sukar dikawal, melibatkan kawasan kebakaran sepanjang 280 kilometer (km) yang meliputi 77,000 hektar.
Saintis berkata perubahan iklim menyebabkan fenomena cuaca melampau seperti gelombang haba dan kebakaran besar berlaku lebih kerap serta semakin serius.
Di wilayah Gironde, Perancis, kebakaran sejak Rabu lalu menyebabkan 75 anggota bomba cedera, termasuk 10 yang terpaksa dibawa ke hospital, menurut laporan pihak berkuasa tempatan.
Sementara itu, Datuk Bandar Bordeaux, Thomas Cazenave, berkata tiada rancangan untuk memindahkan penduduk bandar itu yang berjumlah kira-kira 850,000 orang.
Nnnn
