Pasukan Penstabilan Antarabangsa ke Gaza

QUSRA – Kabinet Keselamatan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, meluluskan rangka kerja undang-undang bagi membolehkan pasukan antarabangsa memasuki Gaza yang ditempatkan di kawasan yang tidak berada di bawah kawalan Israel.

Netanyahu dijadual berlepas ke Washington hari ini dan dijangka bertemu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, esok.

Menurut seorang pegawai Israel, misi dikenali sebagai Pasukan Penstabilan Antarabangsa akan membabitkan 200 anggota dari negara yang dianggap mesra Israel, termasuk Uganda dan Maghribi.

Bagaimanapun, setiap kumpulan perlu mendapat kelulusan Israel sebelum dibenarkan memasuki Gaza dan tarikh penempatan mereka masih belum diumumkan.

Sementara itu, seorang pegawai Palestin mendakwa peneroka haram Israel membakar dua masjid di Tebing Barat yang diduduki pada awal pagi semalam, selepas pertempuran berdarah di wilayah itu mengorbankan enam nyawa minggu ini.

Datuk Bandar Qusra, selatan Nablus, Abdel Azim Wadi, berkata sekumpulan peneroka haram Israel membakar sebuah masjid yang masih dalam pembinaan di bahagian selatan bandar itu.

Beliau berkata, penyerang turut menyembur cat pada dinding masjid dengan tulisan dalam bahasa Ibrani, termasuk perkataan ‘balas dendam’.

Tentera Israel berkata anggotanya dikerahkan ke pinggir Qusra selepas menerima laporan mengenai kebakaran di sebuah masjid.

Menurut tentera, anggotanya menjalankan operasi mengesan suspek yang melarikan diri sebelum mereka tiba di lokasi, selain menemui kesan kebakaran yang dipercayai disengajakan serta contengan pada dinding masjid.

Dalam kejadian berasingan, Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Palestin berkata sekumpulan pendatang haram Israel turut membakar sebuah masjid di kampung Kour, berhampiran Tulkarem.

Kementerian itu berkata kumpulan pendatang haram Israel membakar masjid berkenaan dan meninggalkan tulisan berunsur perkauman pada dindingnya.

Lewat malam tadi tentera Israel memaklumkan lebih 130 individu dikehendaki ditahan dalam operasi di seluruh Tebing Barat sepanjang hujung minggu termasuk penyeludup senjata, anggota Hamas, individu yang didakwa menghasut keganasan dan mereka yang disyaki merancang serangan.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment