TPM cadang wakil Orang Asli di pejabat MB

JELEBU 24 Julai – Timbalan Perdana Menteri, Dr.  Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan pelantikan seorang pegawai khas mewakili masyarakat Orang Asli di pejabat Menteri Besar sekiranya Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, cadangan itu tidak perlu dimasukkan dalam manifesto kerana pelaksanaannya boleh dibuat menerusi pentadbiran kerajaan negeri.

Katanya, cadangan berkenaan adalah permintaan masyarakat Orang Asli yang disifatkannya munasabah, mengambil kira pendekatan sama yang sudah dilaksanakan di Pahang dan Perak.

“Ini tak perlu manifesto, ia boleh dilaksanakan secara pentadbiran. Ini adalah permintaan mereka dan saya fikir ia munasabah kerana di Pahang dan Perak jawatan itu sudah diwujudkan.

Kita lihat hubungan terus antara kepimpinan Orang Asli dengan pejabat Menteri Besar di dua negeri berkenaan berjalan dengan baik,” katanya semasa menghadiri Program Ramah Mesra Bersama Masyarakat Orang Asli Tohor di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Jelebu,  Jalaluddin Alias; Setiausaha Agung UMNO, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; calon BN DUN Chennah, Siow Kong Choon, dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Dr Ramli Mohd Nor.

Ahmad Zahid berkata, pelantikan pegawai khas itu dapat mengukuhkan hubungan antara masyarakat Orang Asli dengan pentadbiran negeri, selain menjadi saluran terus bagi menyampaikan isu serta keperluan komuniti berkenaan.

Malah, beliau turut mencadangkan supaya pendekatan sama dipertimbangkan di Johor berikutan negeri itu mempunyai jumlah masyarakat Orang Asli yang ramai.

“Saya juga ingin mencadangkan supaya di Johor juga, kerana ramai Orang Asli, Menteri Besar Johor dapat melantik pegawai khas yang mewakili Orang Asli di pejabat beliau nanti, Insya-Allah,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad Zahid menegaskan usaha membela masyarakat Orang Asli oleh BN dilaksanakan secara konsisten dan bukan hanya ketika musim pilihan raya.

Katanya, beliau sentiasa mengambil berat kebajikan masyarakat Orang Asli dan bertemu Tok Batin sekurang-kurangnya dua kali setiap tahun.

“Ertinya, saya mengambil kepedulian kepada masyarakat Orang Asli. Setiap tahun, paling kurang saya jumpa dua kali Tok Batin. Ini bukan kempen pilihan raya sahaja. Bukan lima tahun sekali baru datang ke Kampung Tohor ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment