Bubar Bersatu kembali kepada UMNO

SEPANG 21 Julai  – Veteran UMNO, Mohd Yussof Latiff menyarankan supaya Parti Peribumi Bersatu (Bersatu) dibubarkan dan semua anggotanya kembali menyertai UMNO demi memastikan masa depan politik Melayu terus kukuh dan bersatu.

Tegasnya, politik Melayu memerlukan penyatuan, bukannya perpecahan dan UMNO adalah sebagai wadah utama yang mampu memimpin agenda politik Melayu secara lebih berkesan dan stabil.

Menurut beliau,  susulan kemelut yang melanda parti, Bersatu semakin kehilangan arah apabila berdepan pelbagai krisis dalaman selain hubungan yang semakin renggang dengan rakan dalam Perikatan Nasional (PN), khususnya Pas.

Katanya, kekalahan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Johor sehingga gagal memenangi sebarang kerusi membuktikan parti itu semakin hilang sokongan rakyat, sebaliknya, Barisan Nasional (BN) yang diterajui UMNO mencatat kemenangan besar, menunjukkan keyakinan rakyat terhadap UMNO.

Semasa PRU DN Johor katanya, Pas menggerakkan sokongan kepada calon-calon BN yang memperlihatkan hubungan politik antara kedua-dua parti semakin matang demi kepentingan umat Melayu dan Islam.

Sementara di PRU DN Negeri Sembilan, keputusan Bersatu untuk bertanding menggunakan lambang sendiri membuktikan parti itu semakin terasing dan berdepan cabaran besar untuk meraih sokongan pengundi.

“Jika keadaan ini berterusan, Bersatu bukan sahaja berisiko kalah, malah berkemungkinan kehilangan deposit seperti yang berlaku dalam pilihan raya sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) itu, ketika Pas dan UMNO sedang membina satu keluarga besar bagi mengisi kelompongan perjuangan orang Melayu dan bersatu dalam menghadapi pelbagai cabaran politik negara khususnya daripada parti-parti bukan Melayu, Bersatu nyata terpinggir.   

“Pada pendapat saya Bersatu tidak punya masa depan yang baik jika go solo.  Jadi dengan siapa Bersatu dapat berkerjasama?   

Dengan Pas, nyata kecewa, dengan UMNO pasti akan lebih kecewa kerana UMNO melihat Bersatu sebagai pengkhianat kerana dari UMNO mereka menubuhkan Bersatu.  Bersatu pernah bercita-cita ingin menguasai UMNO.

Dalam senario ini, disarankan ahli-ahli Bersatu kembali ke parti asalnya, UMNO Tan Sri Muhyiddin dan ramai ahli Bersatu berasal dari UMNO. Mereka ‘berdarah’ UMNO dan cara fikir pun UMNO,” katanya.

Mohd Yussof yang juga Tokoh Melayu Terbilang 2017 menegaskan bahawa UMNO kekal sebagai parti politik Melayu terbesar, paling berpengalaman dan mempunyai akar perjuangan yang kukuh dalam mempertahankan agama, bangsa dan negara.

Beliau juga menarik perhatian mengenai UMNO yang membuka pintunya kepada bekas-bekas ahli UMNO sama ada dipecat, digantung atau yang meninggalkan UMNO dan mereka ini termasuk Muhyiddin punyai peranan besar untuk menguatkan UMNO dan mengembalikan keyakinan orang Melayu kepada UMNO.

“Lupa sengketa yang lalu dan berpautlah kembali kepada tunjang di mana beliau datang iaitu UMNO dan pemimpin-pemimpin UMNO sekarang perlu juga melihat scenario yang lebih besar dan penting bukan hanya dengan Pas sahaja.

Keluarlah daripada kepompong mementingkan diri dan kroni, kembalikan kepercayaan orang Melayu kepada UMNO dengan penyatuan dan silaturahim yang ikhlas dalam kalangan pemimpin politik Melayu.  Masa belum terlambat lagi.   

Bersatu sebagai adik kecil perlu bersama abangnya UMNO untuk majukan politik orang Melayu khususnya dalam Pilihan Raya Umum yang ke-16 akan datang,” katanya.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment