Stesen Sentral Seremban serba moden

SEREMBAN 21 Julai  – Stesen Sentral Seremban yang dijangka siap menjelang Mac tahun depan bakal menyediakan sebuah fasiliti pengangkutan serba moden, canggih dan kontemporari, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Katanya, dengan peruntukan RM100 juta, stesen tersebut tetap mengekalkan nilai warisan serta kebudayaan tempatan menerusi reka bentuk bumbung Minangkabau.

“Projek ini adalah satu stesen moden yang akan menjadi mercu tanda baharu di tengah-tengah Bandaraya Seremban.

“Ia direka bentuk sebagai ‘bangunan hijau’ yang memaksimumkan pencahayaan semula jadi, dilengkapi ruang komersial baharu serta mengintegrasikan projek Pembangunan Berasaskan Transit (TOD) Sentral Seremban di bahagian belakang stesen,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Stesen KTMB Seremban, di sini, hari ini.

Loke berkata projek berkenaan menyediakan dua pilihan laluan penurunan penumpang bagi memudahkan aksesibiliti.

Laluan pertama kekal di hadapan Jalan Tuanku Antah, manakala laluan kedua di bahagian belakang stesen diwujudkan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di jalan utama.

Sementara itu, Loke berkata kejayaan pemulihan stesen lama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Seremban yang kini berusia lebih 100 tahun menerusi peruntukan RM8 juta daripada Perbadanan Aset Keretapi (RAC).

Beliau berkata, projek konservasi yang bermula tiga tahun lalu itu sudah pun siap sepenuhnya sejak Jun lalu, sekali gus menyelamatkan struktur stesen bersejarah berkenaan yang sebelum ini berada dalam keadaan menyedihkan akibat kayu reput dan kerosakan menara jam.

“Keseluruhan stesen lama ini sudah dibaik pulih dengan pendawaian dan sistem elektrikal baharu. Menara jam yang menjadi mercu tanda bersejarah Bandaraya Seremban juga sudah kembali berfungsi.

“Projek pemulihan ini bukan sahaja memelihara nilai sejarah Negeri Sembilan, malah diintegrasikan secara langsung dengan bangunan stesen baharu kelak,” katanya.

Mengulas banjir kilat yang melanda stesen berkenaan baru-baru ini, beliau berkata, MOT sudah mengarahkan kontraktor melaksanakan skop kerja tambahan untuk membina sistem pembetungan baharu bagi memastikan platform tidak lagi dibanjiri air.

“Laluan pembetung baharu akan dibina bagi mengalirkan air hujan dari luar stesen secara terus ke Sungai Temiang tanpa memasuki kawasan stesen dan platform.

“Stesen baharu ini direka bentuk untuk pelan jangka panjang 30 hingga 50 tahun akan datang, di mana kapasiti penumpangnya berupaya ditingkatkan daripada 30,000 orang sehari kepada 120,000 penumpang harian menerusi pembinaan sehingga enam platform pada masa hadapan,” katanya.

Mengenai Projek Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2), Loke berkata, kemajuan fizikal projek kini sudah mencapai 55 peratus dan disasarkan siap sepenuhnya menjelang tahun 2028.

Katanya, pengurangan kekerapan perkhidmatan tren pada waktu tengah hari adalah disebabkan tindakan penutupan satu landasan secara sementara bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan dan pemasangan trek baharu berjalan dengan lebih selamat dan pantas.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment