UMNO tidak campur urusan pengampunan

KUALA LUMPUR 26 Okt. – UMNO telah membuat ketetapan untuk tidak mencampuri urusan mahkamah mahupun urusan pengampunan diraja terhadap bekas Perdana Menteri Najib Tun Razak, kata Naib Presiden Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, parti tidak mempunyai sebarang kuasa dalam perkara tersebut dan ia terserah kepada badan kehakiman dan Lembaga Pengampunan untuk penentuan.

“Isu pengampunan adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong, bukan kuasa parti dan kerajaan konsisten dengan pendirian untuk tidak mencampuri urusan mahkamah, itu jelas dan UMNO juga telah membuat ketetapan hal yang sama.

Pembebasan Najib ada dua tindakan yang dilakukan oleh peguam beliau, pertama daripada segi semakan kehakiman yang mahkamah sendiri akan putuskan, kedua melalui Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Agong. Jadi kita serahkan kepada Lembaga Pengampunan.

“Jadi bukan kuasa parti UMNO untuk membebaskan sesiapa pun didalam negara ini,” kata beliau ketika ditemui pemberita di Angkasapuri, hari ini..

Perdana Menteri berkata demikian sebagai mengulas ulasan-ulasan di media sosial yang mendakwa Najib akan dibebaskan sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Najib yang juga bekas Perdana Menteri sebelum ini telah mengemukakan petisyen pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong berhubung sabitan dan hukuman dalam kes SRC International.

Pada 23 Ogos lalu, panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara,  Tengku Maimun Tuan Mat mengesahkan sabitan dan hukuman Najib oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Disember tahun lepas yang seterusnya mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Nazlan Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas penyandang kerusi Parlimen Pekan itu atas tujuh tuduhan rasuah.

Related posts

Leave a Comment