PUTRAJAYA 21 Mei – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan 39,111 rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun dan ke atas sebagai pemilih baharu sepanjang bulan April lalu, kata Setiausahanya, Khairul Shahril Idrus.
Katanya, dalam tempoh sama, 15,880 orang pemilih berdaftar bertukar bahagian pilihan raya manakala 1,369 lagi pemilih bertukar kategori pengundi atau status.
Dalam satu kenyataan, SPR juga memaklumkan bahawa daftar pemilih tambahan (DPT) April 2026 sudah diperaku semalam dan diwartakan hari ini serta dibuka untuk semakan selama 30 hari mulai 21 Mei hingga 19 Jun ini.
Khairul Shahril berkata, SPR turut menyediakan lima kaedah semakan bagi DPT untuk April ternasuk melalui portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my.
Selain itu katanya, ia juga boleh disemak melalui portal rasmi Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my.
“Tiga kaedah lain ialah aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my; aplikasi mudah alih MySPR Semak atau Hotline Semakan Pendaftaran Pemilih di talian 03-8892 7218,” katanya.
Untuk rekod pemilih baharu yang direkodkan dalam tempoh 1 hingga 31 Mac lalu adalah 40,958 berbanding 38,705 orang pada Januari dan 36,141 sepanjang Februari 2026.
Nnnn
