KUALA LUMPUR 21 Mei – Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Pandan, Haqimi Zamri bersama 18 daripada 26 ahli jawatankuasa (AJK) sayap berkenaan meletak jawatan serta-merta.
Daripada jumlah itu, 14 daripada AJK terbabit turut keluar PKR dengan notis makluman rasmi akan dihantar kepada Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh dalam masa terdekat.
“Saya selaku Timbalan Ketua AMK Pandan merangkap Exco AMK Selangor, dengan ini mengumumkan peletakan jawatan saya daripada semua jawatan dalam PKR serta keluar daripada parti berkuat kuasa serta-merta.
“Bersama-sama saya, seramai 19 lagi pimpinan AMK Pandan turut meletak jawatan. Mereka terdiri daripada seorang pengerusi tetap dan 18 AJK,” katanya pada satu sidang media hari ini.
Sebelum ini, Ketua Cabang Rafizi Ramli mengosongkan jawatan itu dan Ahli Parlimen kawasan Pandan bagi menyertai Parti Bersama Malaysia (BERSAMA).
Berikutan peletakan jawatan itu, Haqimi mendakwa, struktur kepemimpinan AMK Pandan turut terbubar secara automatik selepas hilang korum mengikut Fasal 15.11 Peraturan Tetap AMK dan Fasal 37.12 Perlembagaan PKR dibaca bersama Fasal 32.4.K
Haqimi yang pernah berkhidmat sebagai pegawai khas Rafizi sewaktu di Kementerian Ekonomi, berkata beliau memilih menyertai BERSAMA dan permohonan keahlian dijangka dibuat dalam masa terdekat.
Beliau mendakwa keputusan itu turut dipengaruhi perkembangan politik sejak setahun lalu yang menaikkan suhu politik negara, membabitkan pemilihan PKR yang didakwanya dimanipulasi untuk menguntungkan pihak tertentu.
“Ia lebih kepada isu-isu negara yang lebih kritikal seperti isu rasuah melibatkan inner circle Perdana Menteri sendiri, isu mafia korporat dan banyak lagi.
Mengambil kira perkembangan-perkembangan ini, kami mengambil keputusan untuk kekal bersama Rafizi yang selama ini banyak menabur bakti sepanjang menjadi Ahli Parlimen Pandan,” katanya.
Haqimi mendakwa, lebih menjengkelkan apabila ada pemimpin yang berubah pendirian selepas kehilangan jawatan ahli majlis, termasuk ada juga memilih untuk mengkhianati Rafizi meskipun dicalonkan oleh bekas Ahli Parlimen Pandan itu.
“Kami amat terkilan apabila terdapat individu yang selama ini menumpang kekuatan, pengaruh dan sokongan Rafizi untuk memenangi jawatan dalam parti di Pandan akhirnya memilih untuk ‘menyeberang’ apabila kuasa dan kedudukan mula menjadi keutamaan.
“Kami teringat akan warkah Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara suatu ketika dahulu. Setiap perjuangan selalu melahirkan sejumlah pengkhianat dan ‘penjilat’. Hari ini, kami melihat sendiri bagaimana golongan seperti ini semakin berakar dalam PKR dan menjadi budaya yang tidak lagi boleh kami terima,” katanya.
