Mahkamah tolak tangguh rayuan akhir Najib

PUTRAJAYA 16 Ogos –  Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Najib Razak menangguhkan rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Lima panel Hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat menolak permohonan Najib selepas peguam utamanya, Hisyam Teh Poh Teik, mengemukakan permohonan secara lisan untuk menangguhkan prosiding rayuan berkenaan.

Mahkamah kemudian menetapkan prosiding rayuan akhir itu bermula Khamis ini.

Tengku Maimun dalam keputusan menolak penangguhan itu, berkata Najib mengetahui tarikh prosiding rayuan akhir, tetapi memilih untuk melantik peguam baharu mewakilinya.

Beliau berkata, walaupun itu adalah haknya untuk memilih tetapi Najib kemudian tidak boleh menyatakan bahawa peguamnya tidak bersedia dengan rayuan akhir.

Terdahulu, panel hakim mendapati, kedudukan bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, ketika bertugas sebagai Kaunsel dan Setiausaha Syarikat dalam Kumpulan Maybank pada masa lalu, tidak boleh memberi kesan kepada penemuannya dalam perbicaraan SRC International Sdn Bhd (SRC).

Susulan dapatan itu, panel sebulat suara menolak permohonan Najib memasukkan bukti tambahan membabitkan Mohd Nazlan ketika rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC hari ini.

Mohd Nazlan yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, sebelum ini mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan pengubahan wang haram dana SRC dan memerintahkannya dipenjara 12 tahun serta didenda RM210 juta pada 28 Julai 2020.

Tengku Maimun yang membacakan penghakiman, berkata mahkamah juga tidak dapat melihat bagaimana jawatan Mohd Nazlan sebagai Kaunsel dan Setiausaha Syarikat dalam Kumpulan Maybank boleh memberi kesan kepada penubuhan syarikat pelaburan terbabit melalui tindakan Najib sendiri.

Ketika siasatan SRC oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terdapat keterangan yang direkodkan daripada pegawai Maybank dan Mohd Nazlan. Dengan hormatnya kami gagal untuk melihat bagaimana bukti mereka yang berpotensi ini ada kaitan dengan tuduhan terhadap Najib (pemohon).

“Keseluruhan bukti dan keterangan tambahan yang hendak dimasukkan oleh pemohon dalam rayuannya gagal mendedahkan sebarang kaitan dengan keputusan (kes SRC) yang dibuat oleh Mohd Nazlan di Mahkamah Tinggi.

“Sebahagian bukti itu sepatutnya sudah tersedia ketika perbicaraan kes di Mahkamah Tinggi atau boleh diperoleh oleh pihak pembelaan jika mereka membuat penilaian yang sewajarnya.

“Dengan alasan ini, kami mendapati pemohon gagal untuk memenuhi peruntukan mengikut Seksyen 93, Akta Mahkamah-Mahkamah Kehakiman 1964 bagi memasukkan bukti tambahan. Kami dengan ini menolak permohonan pemohon,” katanya.

Tengku Maimun berkata, untuk memasukkan bukti tambahan itu, Najib mesti menunjukkan bukti itu belum dikemukakan dalam perbicaraan kes; ia mesti bukti yang relevan; bukti berkenaan berwibawa dan boleh dipercayai; serta ia boleh menimbulkan keraguan munasabah kepada mahkamah jika dipertimbangkan bersama-sama bukti lain.

Related posts

Leave a Comment