PH sudah jangka BN solo hadapi PRN

SEPANG – Pakatan Harapan (PH) Johor sudah menjangkakan kemungkinan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding solo di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Justeru PH sememangnya telah bersedia untuk menghadapi PRN secara demokratik, matang dan penuh tanggungjawab demi kepentingan rakyat.

“Dalam demokrasi matang, parti politik bebas membuat keputusan sama ada untuk bekerjasama atau berlawan dengan mana-mana pihak. Justeru, Pakatan Harapan Johor menghormati keputusan BN Johor bertanding solo di semua 56 kerusi DUN.

“Kami sememangnya telah bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri secara demokratik, matang dan penuh tanggungjawab demi kepentingan rakyat,” kata PH  dalam satu kenyataan bersama.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Pengerusi Amanah Johor merangkap Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan, Pengerusi Keadilan Johor Datuk Dr Zaliha Mustafa dan Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching.

PH Johor mengambil maklum pendirian yang dinyatakan secara terbuka oleh BN Johor ini, sekurang-kurangnya menyatakan mereka lebih awal untuk memasuki medan pilihan raya secara bersendirian, tidak seperti di Negeri Sembilan baru-baru ini.

Sementara itu, BN Johor perlu jujur kepada rakyat bahawa kestabilan dan pembangunan negeri pada hari ini bukan berlaku secara bersendirian, sebaliknya turut disumbangkan melalui kerjasama erat Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

“Antara contoh jelas ialah usaha menangani kesesakan di Bangunan Sultan Iskandar (CIQ) dan Tambak Johor yang melibatkan kerjasama pelbagai kementerian Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Selain itu, projek perkhidmatan ETS ke Johor Bahru, pelbagai pelaburan strategik yang dibawa masuk melalui MITI dan agensi Persekutuan, pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), serta penambahbaikan kemudahan awam dan infrastruktur negeri juga lahir daripada hubungan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

“Justeru apabila BN Johor membuat keputusan bertanding solo, rakyat berhak mempersoalkan sama ada BN sebenarnya hanya mahu mengambil manfaat politik daripada hasil kerjasama Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, tetapi dalam masa sama memilih untuk menjarakkan diri apabila tiba musim pilihan raya.

Apapun, Pakatan Harapan Johor mengambil maklum pendirian yang dinyatakan secara terbuka oleh BN Johor ini. Sekurang-kurangnya BN Johor menyatakan pendirian mereka lebih awal untuk memasuki medan pilihan raya secara bersendirian, tidak seperti di Negeri Sembilan baru-baru ini,” kata kenyataan itu.

Related posts

Leave a Comment