Aplikasi TuJu untuk lebuh raya bertol

KUALA LUMPUR 27 Okt. – Tujuan asal aplikasi navigasi TuJu dibangunkan adalah untuk menambah baik perkhidmatan di lebuh raya bertol dan bukannya untuk bersaing secara langsung dengan Waze.

Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM),  Hasni Mohammad, menjelaskan demikian susulan langkah kerajaan menggalakkan rakyat Malaysia untuk beralih daripada Waze kepada TuJu.

“Ia bukan (aplikasi) navigasi macam Waze. Kita hanya buat kerjasama untuk menambah-baik kita punya pusat pengurusan trafik,” katanya dalam wawancara disiarkan portal berita Malaysiakini.

Beliau menjelaskan, TuJu diwujudkan sebagai perkhidmatan tambahan bagi pengguna lebuh raya bertol yang menyediakan kemas kini trafik, maklumat kawasan rehat, lokasi kamera penguatkuasaan serta bagi menghubungi bantuan kecemasan.

TuJu memang (menyerupai) sebuah aplikasi navigasi, tetapi skop dan keupayaannya – berbanding Waze – kini dibangunkan khusus untuk pengguna lebuh raya bertol.

Jika anda dalam perjalanan di lebuh raya dari Ayer Keroh ke Seremban, aplikasi ini akan dapat memaklumkan anda mengenai keadaan trafik sepanjang perjalanan, susur keluar, kawasan rehat dan kemudahan-kemudahan lain,” katanya.

Pada 20 Oktober, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggalakkan rakyat Malaysia untuk beralih daripada Waze kepada TuJu, dengan menyuarakan kebimbangan mengenai keselamatan maklumat pengguna dan data pergerakan mereka, memandangkan Waze mempunyai kaitan dengan Israel.

Arahan kerajaan seterusnya yang mengehadkan penggunaan Waze dalam kalangan penjawat awam berserta usaha mempromosikan TuJu mencetuskan perbandingan antara kedua-dua aplikasi berkenaan.

Pada 23 Oktober, Anwar mengakui bahawa TuJu belum lengkap sepenuhnya, namun beliau tetap menegaskan kebimbangan kerajaan berhubung keselamatan negara berkaitan penggunaan Waze.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Menteri Digital, Gobind Singh Deo turut menjelaskan bahawa penggunaan TuJu bukanlah sesuatu yang diwajibkan, dan aplikasi navigasi lain termasuk Google Maps masih boleh digunakan.

Hasni menyatakan bahawa bidang kuasa LLM terhad kepada lebuh raya bertol, dengan agensi itu sedang berusaha menambah baik pemantauan trafik secara masa nyata serta perkhidmatan keselamatan jalan raya.

Beliau mengakui bahawa pusat pengurusan trafik agensi berkenaan masih memerlukan penaiktarafan, memandangkan bukan semua lebuh raya menyediakan maklumat trafik kepada LLM.

Hasni tidak menolak kemungkinan untuk meluaskan liputan aplikasi itu ke jalan persekutuan, jalan perbandaran, dan jalan kampung, namun menyatakan bahawa perkara ini bergantung kepada keupayaan teknikal dan pembiayaan.

“Mungkin dalam tempoh 10 atau 15 tahun akan datang, ya, kita boleh meluaskannya ke jalan persekutuan, jalan perbandaran, dan jalan kampung. Tetapi buat masa ini, tumpuan hanya diberikan kepada lebuh raya bertol,” katanya.

Hasni turut mengakui wujudnya kebimbangan mengenai cara TuJu dibentangkan semasa taklimat kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN), terutamanya selepas aplikasi itu dikaitkan dengan pertimbangan keselamatan negara yang lebih luas.

Beliau membezakan antara kebimbangan keselamatan pihak MKN dengan fokus LLM terhadap keselamatan lebuh raya, termasuk bantuan bagi pengguna jalan raya yang terbabit dalam kemalangan atau mengalami kerosakan kenderaan.

“Jika taklimat yang disampaikan oleh LLM kepada MKN itu mengelirukan, ia sepatutnya tidak berlaku.Jika perkara itu benar-benar berlaku, saya berpendapat ia bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan,” kata Hasni, yang mendedahkan bahawa beliau tidak hadir pada taklimat 20 Oktober itu, namun dimaklumkan mengenai minit mesyuarat berkenaan.

Hasni menyatakan bahawa beliau perlu memastikan sama ada LLM dan pihak pembangun TuJu, Prosignal Consortium Sdn Bhd (Prosignal), menjelaskan fungsi sebenar aplikasi berkenaan dengan jelas ketika taklimat.

Kenyataannya itu menyusuli pengumuman oleh Fahmi bahawa Jemaah Menteri meminta LLM dan Prosignal untuk memberikan penjelasan mengenai masalah teknikal TuJu, termasuk punca gangguan yang berlaku serta penambahbaikan yang dicadangkan.

Apabila ditanya mengenai permintaan itu, Hasni menyatakan bahawa LLM akan memberikan penjelasan sekiranya diminta secara rasmi.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment