Perbincangan bersama MCA positif

DURIAN TUNGGAL 27 Okt. – Perbincangan khas bersama kepemimpinan MCA berhubung pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Melaka selesai dengan perkembangan positif.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perbincangan itu membabitkan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta Pengerusi BN Melaka merangkap Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, pengumuman mengenai hasil perbincangan itu diserahkan kepada Ab Rauf yang diberikan mandat berbuat demikian.

“Saya tidak dapat mengumumkannya sehingga Ketua Menteri Melaka yang sudah diberikan mandat untuk membuat pengumuman, sila lakukan soalan susulan kepada beliau,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jelita (Job Empowerment by Learning and Inclusive Technical Advancement) Latihan Pecutan Intensif 12 Jam di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini, hari ini.

Sebelum ini, MCA dilaporkan bertegas tidak mengiktiraf mana-mana calon parti itu yang diumumkan BN bagi PRN Melaka tanpa persetujuan kepemimpinan tertinggi parti.

Ka Siong dilaporkan berkata, tindakan mengumumkan calon tanpa rundingan dan persetujuan MCA tidak boleh diterima, selain mendakwa kerusi yang sebelum ini ditandingi parti itu diberikan kepada parti lain.

Perkembangan itu menimbulkan persoalan mengenai kedudukan dua penyandang MCA yang diumumkan BN sebagai calon pada malam Sabtu lalu, iaitu Datuk Ngwe Hee Sem bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya dan Datuk Lim Ban Hong di Klebang.

Sementara itu, mengulas isu penolakan calon BN di kerusi DUN Durian Tunggal dan Pantai Kundor, Ahmad Zahid berkata, gabungan itu akan menyelesaikannya secara dalaman.

Bagaimanapun, beliau tidak menjangkakan penyelesaian berkenaan akan membawa kepada pertukaran calon yang sudah diumumkan menjelang hari penamaan calon, Sabtu ini.

“Saya tidak nampak ke arah itu (pertukaran calon)… kita akan lakukan langkah penyelesaian secara dalaman.

“Dalam mana-mana pilihan raya kecil atau pilihan raya negeri, apatah lagi pilihan raya umum, memang ada permasalahan yang begini, bukan hanya kepada BN, tetapi berlaku juga kepada parti gabungan yang lain.

“Ini sesuatu yang lazim dan tidak ada sesuatu yang mustahil untuk kita cari jalan penyelesaian yang terbaik,” katanya.

BN sebelum ini menetapkan untuk meletakkan calon di 21 daripada 28 kerusi DUN Melaka, manakala baki tujuh kerusi diperuntukkan kepada PN dan rakan strategiknya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment