Tiada kejutan BPT ‘digaul’ bersama BPI

SAH, beras putih tempatan (BPT) bukannya ‘disarungkan baju import’ tetapi ‘bergaul’ dengan beras import dalam kampit yang sama. Akhirnya, selepas dua tahun, ‘misteri’ kehilangan BPT di pasaran sedikit sebanyak terjawab.

Tidak dinafikan, sebelum ini ada yang menjangka situasi seumpama ini memang wujud. Ada yang mendakwa segelintir pengeluar mencampurkan BPT dengan kampit BPI, yang bertujuan meraih keuntungan lebih.

Tidak kurang juga yang mendakwa BPT hilang kerana dikampitkan kepada beras import dan dijual pada harga RM40. Bagaimanapun situasi itu dibiar tanpa penjelasan terbiar sebagai persepsi atau spekulasi.

Apatah lagi, pada September 2023 Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu berkata, tiada bukti berlakunya penukaran label BPT kepada import ditemukan dalam 500 pemeriksaan di peringkat kilang, pemborong, dan peruncit.

Mujurlah BPT itu bukan sesuatu yang ‘haram’ atau tidak halal, seperti arak atau alkohol yang memabukkan. BPT juga bukan seperti unsur asid deoksiribonukleik (DNA) khinzir yang apabila dicampur dengan BPT menjadi tidak halal.

Adunan BPT dan BPI juga bukan menghasilkan sesuatu yang memabukkan atau tidak halal seumpama makanan dicampur arak atau DNA khinzir.

Sama ada BPT atau BPI, beras tetap beras. Masih boleh ditanak menjadi nasi. Halal dimakan. Cuma BPT + BPI itu satu penipuan. Bagi orang Islam, menipu itu haram. Pengguna rasa tertipu apabila beras yang diperoleh beras campuran.

Mungkin masih ramai yang ingat kenyataan Ketua Task Force Pemantauan Kluster Makanan (NACCOL), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

Katanya, kerajaan memperkenalkan kategori tunggal bagi beras putih untuk menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran negara ini.
Ia dikenali sebagai Beras Putih Malaysia Madani (BPMM).

Bagi sesetengah pihak yang sudah lali dengan isu ini, selama ini mereka ‘sambar’ apa sahaja beras yang ada sementara menunggu 1 Mac, apabila diberitakan pada Sabtu, 24 juta kampit BPT bersubsidi pada harga RM26 bagi pek 10 kilogram (kg) akan mula dijual dalam pasaran di seluruh Semenanjung.

Sejauh mana kebenaran kenyataan itu? Semua pihak boleh ikutinya esok, 1 Mac, menjelang umat Islam menyambut Ramadan.

Sesuatu yang menarik susulan pendedahan beras campuran ini adalah kenyataan Mat Sabu pada 15 Januari lalu yang menyatakan KPKM sedang membuat kajian terperinci untuk membenarkan penjualan beras campuran di pasaran tempatan.

Maknanya KPKM baru berbincang membenarkan jualan beras campuran tetapi pengeluar lebih pantas memulakannya.

Apatah lagi Mat Sabu seolah-olah memberi laluan apabila menyatakan , tiada larangan yang jelas tentang pencampuran beras di dalam Akta Kawalan Padi dan Beras (Akta 522).

Menurut Mat Sabu, cadangan tersebut turut disokong oleh Suruhanjaya Persaingan
Malaysia (MyCC) sebagai kaedah penyelesaian kepada masalah bekalan beras yang berlaku ketika ini.

Berdasarkan kenyataan itu, adakah ‘kesalahan’ mencampur BPT dan BPI akan berakhir begitu sahaja? Maksudnya tidak akan ada tindakan? Mudah cakap campuran itu dihalalkan.

Bagaimanapun banyak pihak menggesa kerajaan bertindak segera terhadap kilang beras, pemborong dan peruncit yang mencampurkan BPT dan BPI ini sebelum menjualnya pada harga lebih tinggi sebagai beras import.

Langkah itu dapat memastikan pengguna tidak terus menjadi mangsa penipuan kartel beras.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, Menteri KPKM serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup tidak perlu menunggu pindaan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) sebelum mengambil tindakan tegas.

Katanya, dua kementerian berkenaan boleh menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada bagi menyiasat, menangkap dan mendakwa pihak yang terlibat dalam penipuan ini, yang didakwa telah berlarutan hampir dua tahun.

Antara akta yang boleh dikuatkuasakan termasuk Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) serta Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Diharapkan kerajaan dapat melakukan sesuatu bagi mengelakkan penipuan seperti ini berulang. Mat Sabu perlu ingat pesanan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Ceramah Mega Perpaduan Madani DUN Pelangai pada 2 Oktober 2023.

Ketika itu beliau menegaskan tidak ada kompromi terhadap mereka yang berani menyorok atau menyimpan beras ketika orang susah mendapatkan bahan itu.

“Saya bagi tahu Mat Sabu arahan yang jelas kepada badan penguat kuasa , kalau ada yang berani buat perangai buruk dalam keadaan orang susah cari beras, kamu sorok, kamu jaga. Kami akan cari dan saman dan bawa kamu ke mahkamah. Tengah orang susah masa itu kamu nak cari untung,” kata Anwar.

Diharapkan Mat Sabu khususnya dapat mengambil ingatan itu. Sekurang-kurangnya pada kali ini ketegasan PMX tidak diabaikan.

Nnn

Related posts

Leave a Comment