SHAH ALAM 22 Nov. – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengingatkan parti itu kini berada dalam keadaan mod krisis dengan mendakwa ada pihak mahu menjatuhkan parti berkenaan dan juga kerajaan.
Justeru, beliau mahu anggota parti itu memberi komitmen kepada perjuangan DAP seperti yang ditunjukkan pada tahun 2008.
“Orang lain hendak jatuhkan parti kita, nak jatuhkan kerajaan kita. Kita mesti serius dalam perjuangan kita, kita mesti mengambil semangat untuk mempertahankan dan berjuang seperti semangat kita pada tahun 2008,” katanya.
Loke dalam ucapannya pada Konvensyen DAP Selangor di SITC, Seksyen 14, di sini hari inj membangkitkan mengenai tahap kehadiran perwakilan DAP Selangor yang agak kurang memberangsangkan pada konvensyen parti itu di sini, hari ini.
Katanya, pimpinan DAP Selangor perlu bertanggungjawab mendisiplinkan anggota parti berkenaan memandangkan ia kini bukan berada dalam keadaan selesa.
“Hari ini saya nampak semangat belum cukup kuat lagi. Kehadiran tidak begitu memberangsangkan kerana tidak ada pemilihan parti.
“Kalau pemilihan parti tak payah cakap pun, dewan penuh. Saya nak kata ahli-ahli kita, cawangan-cawangan kita ditubuhkan bukan untuk pemilihan parti.
Kita ditubuhkan untuk membawa obor perjuangan parti. Ada pemilihan tak ada pemilihan, wajib kehadiran yang baik dalam konvensyen. Ini parti pemerintah. Kita berada dalam kerajaan negeri,” katanya.
Loke turut mengarahkan Pengerusi DAP Selangor, Ng Sze Han menyemak dan menyerahkan senarai anggota yang tidak hadir pada konvensyen itu terutamanya pemimpin seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), ketua kampung dan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Ketua kampung, ahli majlis yang tidak hadir, kalau tidak hadir kena senarai hitam jangan sambung. Kalau tiada komitmen kepada parti tak payah bagi peluang kedua.
“Kalau mana-mana ADUN tidak hadir hari ini bagi nama kepada saya. Ini asas tanggungjawab. Kalau komitmen yang paling asas tidak ada, jangan cakap pasal perjuangan. Jangan cakap pasal hendak jadi calon,” katanya.
Loke berkata, beliau perlu bertindak tegas demi kepentingan parti, meskipun tindakannya mungkin tidak disenangi sesetengah pihak.
“Kamu nak pakai cawangan, kamu nak pakai delegasi nak jatuhkan saya buatlah sesuka hati kamu. Tetapi saya akan pastikan orang yang tak ada komitmen, tidak akan mendapat tempat,” katanya.
Nnnn
