BEIRUT – Beberapa pos kawalan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di selatan Lubnan mula diserahkan kepada tentera negara itu sebagai persediaan menjelang penamatan mandat pasukan pengaman berkenaan.
Ketua Misi UNIFIL Diodato Abagnara menekankan kepentingan memastikan tiada kekosongan keselamatan berlaku selepas misi itu berakhir.
Beliau berkata tugas utama pasukan itu perlu diteruskan, termasuk memantau dan melaporkan pelanggaran, menyalurkan bantuan kemanusiaan, melindungi orang awam serta menyokong komuniti tempatan dan golongan wanita.
Abagnara berkata masa depan kehadiran PBB di selatan Lubnan bergantung kepada keputusan Majlis Keselamatan PBB.
Beliau turut menyifatkan pendudukan berterusan Israel di beberapa kawasan selatan Lubnan sebagai “pelanggaran jelas” terhadap Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB, sambil menegaskan bahawa anggota pengaman akan terus melaksanakan tugas sehingga hari terakhir mandat mereka.
UNIFIL ditempatkan di selatan Lubnan sejak 1978, manakala Resolusi 1701 memperluas mandatnya pada 2006 bagi merangkumi pemantauan pemberhentian permusuhan dan menyokong penempatan tentera Lubnan di selatan Sungai Litani.
Pada Ogos 2025, Majlis Keselamatan PBB melanjutkan mandat UNIFIL buat kali terakhir sehingga 31 Dis 2026, dengan pengunduran pasukan itu secara berperingkat dijadual bermula pada 2027.
