KUALA LUMPUR 22 Nov. – MCA akan terus bergerak di bawah payung Barisan Nasional (BN) dan memilih pendekatan terbaik berdasarkan kesesuaian landskap politik serta keadaan di kawasan yang ditandingi, kata Presidennya, Dr Wee Ka Siong.
Beliau berkata, MCA juga terbuka untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) menerusi pelbagai pendekatan, sama ada bertanding secara solo, bekerjasama dengan rakan strategik atau melalui konsep muafakat seperti di Melaka.
Katanya, pengalaman menghadapi tiga Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka menunjukkan kejayaan kerusi MCA bertambah sekali ganda, daripada enam kepada 12 kerusi.
“Di Johor, kita bertanding solo dan kita menang besar. Di Negeri Sembilan, BN berjaya mengatur strategi bersama PN, di mana BN bertanding di hampir 70 peratus kerusi. Di Melaka, BN dan PN bekerjasama di bawah kerangka Muafakat Melaka.
MCA bukan saja mengekalkan dua kerusi yang ada dan memperbaiki kedudukan di dua kerusi lagi, malah membuktikan MCA mampu menarik sokongan komuniti majmuk dan semua lapisan masyarakat,” katanya.
Ka Siong berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Majlis Perhimpunan Agung MCA ke-4 bagi Perwakilan Pusat MCA Penggal ke-30 di Wisma MCA, di sini hari ini.
Menurut Ka Siong, MCA juga berjaya mengekalkan dua kerusi di Melaka dengan peningkatan majoriti di DUN Kelebang dan Machap Jaya.
Beliau berkata, MCA akan terus mempertahankan prinsip kesederhanaan, kepelbagaian dan sikap saling menghormati tanpa mengira parti atau gabungan yang menjadi rakan kerjasama.
Katanya, sebarang kerjasama politik perlu berlandaskan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara serta mengambil kira hak dan kepentingan semua rakyat Malaysia.
“MCA tetap MCA. Tanpa mengira parti atau gabungan mana kita bekerjasama, nilai-nilai sejagat BN termasuk semangat musyawarah, menitik-beratkan inklusiviti dan kepelbagaian perlu menjadi prinsip asas kerjasama politik berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.
“Di medan pilihan raya pula, apa pun modelnya, MCA tetap mempertahankan nilai teras kita,” katanya.
Ka Siong turut mengingatkan ahli parti supaya tidak lalai atau terlalu selesa dengan kejayaan dalam pilihan raya sebelum ini, sebaliknya terus bekerja keras mendekati rakyat dan membantu masyarakat.
Beliau berkata, kemenangan yang diraih bukan alasan untuk MCA mengurangkan usaha, malah parti itu perlu terus memperbaiki kelemahan dan memperkukuh kerjasama dengan parti komponen BN.
Katanya, MCA bertekad untuk menambah kemenangan buat BN baik di kerusi Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN), sama ada dalam PRN mahupun PRU.
Nnnn
