Itu hanya permulaan – Netanyahu

BAITULMAQDIS – Hanya permulaan! Begitu kata Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berhubung serangan udara semalam yang mengorbankan ratusan rakyat Palestin di Gaza.

Katanya, operasi ketenteraan akan diteruskan hingga semua matlamat perang pasukan pertahana Israel (IDF) tercapai termasuk bagi ‘menghancurkan’ pejuang Hamas, sekali gus membebaskan tebusan yang masih ditahan kumpulan itu.

Dalam serangan terbaharu Israel itu sekurang-kurangnya 404 orang, kebanyakannya wanita serta kanak-kanak, terbunuh dan secara langsng menamatkan gencatan senjata selama dua bulan di Gaza.

Menurut kumpulan masyarakat sivil, ‘Defense for Children Palestine’, serangan

itu juga mengorbankan sekurang-kurangnya 174 kanak-kanak Palestin di Gaza, menjadikannya antara angka korban kanak-kanak tertinggi dalam tempoh sehari.

Angka korban dijangka meningkat kerana masih ramai mangsa yang hilang dan dikhuatiri terperangkap di bawah runtuhan.

Israel, yang melaksanakan sekatan bantuan sepenuhnya ke atas Gaza selama lebih dua minggu, mengeluarkan arahan pemindahan paksa baharu terhadap penduduk Palestin di beberapa kawasan.

Ketika dunia mengecam serangan ganas itu, Hamas mendakwa Israel sengaja melakukan serangan ‘khianat’ ke atas orang awam yang tidak bersenjata semata-mata bagi menggagalkan perjanjian gencatan senjata, selain menyalahkan Amerika Syarikat (AS) kerana bersekongkol melakukan tindakan terbabit.

Netanyahu memberi bayangan bahawa perang akan berterusan dan serangan yang berlaku malam tadi bukan operasi terpencil, sebaliknya menandakan tentera Zionis akan meneruskan serta meningkatkan operasi ketenteraan mengikut keperluan mereka.

Beliau turut menegaskan bahawa sebarang rundingan berkaitan Gaza hanya akan berlaku ‘dengan operasi ketenteraan berterusan oleh Israel’.

Netanyahu pernah mengeluarkan kenyataan sama pada November 2023 ketika perjanjian gencatan senjata yang pertama, sekali gus membuktikan beliau tidak

ikhlas untuk berdamai kerana mungkin menjejaskan kedudukan politiknya di Israel.

Tentera Israel sememangnya sudah merancang operasi itu sejak sekian lama susulan keengganan mereka berundur dari Koridor Philadelphi, bukan sekadar pelan keseluruhan yang dirangka dan diluluskan pada penghujung minggu lalu.

Pelan terbabit merangkumi serangan khusus yang menyasarkan Semenanjung Gaza malam tadi, atas alasan mahu menghapuskan saki baki pejuang Hamas dan markas mereka.

Selain itu, terdapat rancangan lebih besar untuk satu lagi pencerobohan darat serta kempen udara dan laut yang lebih meluas pada masa akan datang.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment