Warisan nafi keluar kerajaan Perpaduan

KOTA KINABALU -Warisan menafikan dakwaan kononnya parti itu memutuskan keluar daripada Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Loretto Padua, berkata kenyataan media yang tular mengandungi dakwaan itu adalah palsu dan disifatkan sebagai cubaan pihak tertentu untuk memfitnah serta memburukkan imej pihaknya.

Menurutnya, pihak berkenaan bukan sahaja menyebarkan fitnah, malah turut memalsukan dokumen rasmi Warisan dengan menjadikannya seolah-olah ia kenyataan rasmi dikeluarkan parti.

“Warisan menafikan kenyataan yang tular melalui media sosial dan menganggap ini satu lagi fitnah yang cuba mengaitkan serta memburukkan Warisan.

Pihak-pihak ini bukan sahaja berani menabur fitnah tetapi juga berani memalsukan dokumen Warisan seolah-olah ia kenyataan rasmi setiausaha agung,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Terdahulu, satu pautan kenyataan media tular mendakwa Warisan mengambil keputusan menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan selepas mengadakan pertimbangan dan perbincangan di semua peringkat kepimpinan serta akar umbi parti.

Kenyataan terbabit turut mendakwa Warisan tidak lagi dapat meneruskan penyertaan dalam Kerajaan Perpaduan susulan perbezaan dalam beberapa perkara dasar, hala tuju pentadbiran serta pendekatan terhadap isu yang menyentuh kepentingan rakyat.

Related posts

Leave a Comment