Pencuri tidak peduli lokasi

KENAPA mencuri atau menyamun di masjid? Sepatutnya singgah masjid untuk solat bukan mencari peluang mengorek tabung masjid atau mencuri barang-barang jemaah. Lebih parah lagi sanggup ragut dan mencederakan jemaah. Begitulah yang terjadi di Masjid An-Nur Kampung Guar Perahu, Kubang Semang, Bukit Mertajam.

Masjid ini terletak di dalam kampung. Lokasinya tepi jalan. Dan ini bukan kali pertama kes kecurian berlaku di masjid ini. Pernah berlaku sebelum ini, seorang jemaah wanita jadi mangsa ketika sedang solat. Memang pencuri tidak peduli soal hukum hakam. Tidak peduli tempat. Asal ada peluang.

Andai kehidupan pelaku benar-benar susah, jumpa saja pegawai masjid, sekurang-kurangnya boleh diikhtiar untuk membantu. Bukannya melakukan jenayah sehingga mencederakan warga emas.

Dalam kejadian semalam, seorang wanita mengalami kecederaan di belakang badan selepas dipukul oleh dua lelaki yang menggunakan besi dalam kejadian samun di Masjid An-Nur. Kejadian berlaku pukul 3 petang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Supt Mohd Mustafa Bidin berkata, mangsa berusia 65 tahun bersama dua lagi  wanita baru selesai kelas mengaji di masjid tersebut sebelum dua lelaki meluru masuk ke bahagian ruang solat wanita.

“Seorang daripada lelaki itu menghampiri mangsa sebelum terus meragut rantai emas dan menyebabkan warga emas itu menjerit meminta tolong, namun suspek telah memukul belakang badan wanita tersebut menggunakan sebatang besi.

“Manakala seorang lagi suspek yang membawa cangkul bertindak mengacu objek itu ke arah mangsa dan dua lagi wanita yang turut berada di situ, sebelum dua lelaki itu mengambil beg solat yang mengandungi telefon bimbit, beg duit, telekung dan kitab milik tiga wanita  tersebut,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, dua lelaki itu kemudiannnya melarikan diri dengan sebuah motosikal dan kamera litar tertutup yang terdapat di perkarangan masjid tersebut berjaya merakam wajah suspek berkenaan.

Related posts

Leave a Comment